Berita Harian

PP lantik peguam kemuka rayuan CAS

-

Georgetown: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) melantik seorang peguam sukan berpengala­man, Vassil Dimitrov bagi mengemukak­an rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA).

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah berkata pihaknya berkerjasa­ma dengan Dimitrov dalam usaha menyiapkan proses dokumentas­i sebelum rayuan dijangka dikemukaka­n secara rasmi kepada CAS pada minggu hadapan.

“Pelantikan peguam Dimitrov berbangsa Bulgaria atas sebab pengalaman beliau dalam mengendali­kan kes-kes sedemikian dan surat rayuan yang disiapkan peguam juga akan diteliti oleh FAP sebelum diserahkan kepada CAS,” katanya selepas majlis makan Malam Apresiasi FAP yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini, kelmarin.

Amar berkata, Chow juga menyokong keputusan FAP untuk mengemukak­an rayuan ke atas keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan negeri.

Bulan lalu, FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA susulan gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankua­sa Tatatertib FIFA untuk menjelaska­n tuntutan rasmi bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Dr Amar berkata kos rayuan dijangka mencecah hampir RM47,000 tetapi ia penting demi untuk menyelamat­kan maruah pasukan bola sepak negeri.

“Selepas pelbagai usaha yang dilakukan, saya berharap CAS akan meneliti rayuan kami dan memberikan satu keputusan yang adil,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, FIFA menghantar surat mengarahka­n FAP membayar sebanyak AS$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo.

FIFA juga mengenakan denda tambahan AS$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan membuat bayaran seperti diarahkan Kamar Penyelesai­an Pertelingk­ahan Kebangsaan (NDRC).

Pada 17 April, FAP membuat pembayaran sebanyak AS$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Lobo tanpa pengetahua­n FAM dan pada 29 April, peguam dilantik Lobo menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumka­n telah menerima bayaran. Namun FAP tidak membuat pembayaran yang sepatutnya iaitu AS$97,041.83 (RM399,379.06).

Sementara itu, Chow berpuas hati dengan pencapaian ditunjukka­n oleh pemain Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Katanya, FAP di bawah kepimpinan baharu sedang dalam proses pemulihan berikutan beberapa kemelut yang melanda pasukan bola sepak negeri beberapa tahun lalu.

“Saya berharap pemain akan terus menunjukka­n semangat kesukanan tinggi dalam setiap perlawanan untuk mencipta kejayaan untuk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata pemain tidak perlu terlalu risau dengan kes rayuan yang dikemukaka­n FAP kepada FIFA sekiranya ia ditolak.

“Kalau FIFA tidak terima rayuan itu.. jangan terlalu kecewa mungkin ada hikmah di sebaliknya. Anggap ini sebagai cabaran baharu untuk meningkatk­an prestasi pasukan dalam perlawanan yang akan datang,” katanya. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia