Berita Harian

‘Kemenangan aksi terakhir bukan kelebihan’

-

Kuala Lumpur: Kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC dalam aksi terakhir Liga Super bukan jaminan buat PJ City FC berasa selesa ketika kedua-duanya sekali lagi bertemu pada perlawanan pertama Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Pengendali PJ City FC, K Devan berkata kedua-dua perlawanan itu adalah berbeza dan anak buahnya tidak boleh selesa dengan keputusan lama.

“Ketika aksi Liga Super, PKNP FC hadir dengan misi menang untuk kekal dalam saingan utama dan pastinya mereka akan menyerang habis-habisan. Dalam masa sama, ia buka ruang kepada kami untuk menyerang balas.

“Tetapi kali ini mereka mungkin akan bertahan supaya dapat curi sekurang-kurangnya satu mata. Corak permainan juga pasti berbeza dan mereka mahu buktikan yang mereka mampu kalahkan kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada saingan Liga Super, jaringan tunggal Washington Brando Dos Santos sudah memadai untuk memastikan kemenangan dan ‘menghantar’ PKNP FC ke Liga Perdana musim depan.

Untuk saingan pertama Piala Malaysia kali ini, Devan akui yang beliau perlu ‘membuka permainan’ dan mungkin ia akan beri peluang kepada lawan untuk cipta jaringan.

“Pentingnya perlawanan pertama ini adalah mendapatka­n kemenangan. Kami perlu manfaatkan aksi di gelanggang sendiri sekali gus buka peluang cuba lepasi peringkat kumpulan.

“Untuk menang, kami mungkin akan bermain secara terbuka dan daripada situ, ia akan beri ruang kepada PKNP FC. Jadi kami tidak boleh lalai dan perlu segera tutup peluang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia