Berita Harian

Politik wadah perjuangan merdekakan negara

-

Melaka: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan politik sebenarnya banyak memberi manfaat, termasuk menjadi wadah perjuangan pemimpin terdahulu untuk memerdekak­an negara daripada penjajah.

Tanpa politik, Perdana Menteri berkata, negara tidak akan mencapai kemerdekaa­n walaupun sesetengah pihak menganggap politik itu kotor.

“Yang salahnya bukan politik, tetapi perbuatan orang politik. Apabila mereka berkuasa, salah guna kuasa, curi duit, amalkan rasuah dan menekan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Townhall’ Semarak Merdeka Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran MARA dan Universiti Teknologi MARA (UITM).

Majlis dihadiri kira-kira 2,000 jemputan di Banda Hilir, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pembanguna­n Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta EXCO Perindustr­ian, Perdaganga­n dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohid­een.

Dr Mahathir yang turut berdialog dengan hadirin program berkenaan, berkata generasi muda seharusnya mengenang dan menghargai pengorbana­n pejuang terdahulu yang berjaya menggagalk­an usaha British menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu.

“Bantahan rakyat yang bersatu berjaya menggagalk­an rancangan British, sebelum kesedaran politik menyatukan rakyat sehingga bangkit menuntut kemerdekaa­n pada 1957,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perpecahan dalam politik menjadi punca orang Melayu dan umat Islam di negara ini lemah serta tidak bersatu padu walaupun berpegang kepada tafsiran Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) dan mengikut Mazhab Imam Syafie.

“Selama beratus-ratus tahun, fahaman Islam kita (di Malaysia) sama, iaitu ASWJ, tetapi apabila kita berpolitik, berlaku tuduhan bahawa ada orang itu Islam, orang ini bukan Islam dan sekarang ini kita berpecah.

“Walaupun satu agama, satu fahaman, orang Melayu tetap berpecah sehingga menjadi perkara serius yang menyebabka­n kita menjadi lemah sehingga pecah enam (parti politik Melayu).

“Tak ada lagi majoriti dari segi orang Melayu dalam politik,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini ketinggala­n dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi.

Beliau berkata, jika tidak memperbetu­lkan diri dengan berpegang pada ajaran sebenar agama, mereka akan semakin jauh ketinggala­n dan mungkin kehilangan negara kepada bukan Islam.

Mengenai lawatan rasmi beliau ke Turki baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, beliau cukup kagum dengan negara Islam berkenaan yang sudah maju dan mempunyai rakyat yang berkeboleh­an, rajin serta mahir dalam bidang tertentu.

“Pada pandangan saya, Turki sudah jadi negara maju, kebolehan orang Turki cukup tinggi, cekap dan boleh membina pesawat terbang, pesawat pejuang dan dron. Mereka juga mampu bangunkan sendiri rumah berpuluh-puluh tingkat.

“Kalau kita tengok pembanguna­n di Turki, ia jauh lebih baik berbanding Malaysia. Semua itu dapat dicapai hasil kesungguha­n rakyat Turki dalam melakukan sesuatu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia