Berita Harian

BILA AIR SUDAH KERING

-

Bila air sudah kering, baruh sudah tidak dikenali baruh lagi. Dahulu, kalau hendak pergi memukat ikan sudah tentu mereka menghalaka­n langkah ke tempat berkenaan. Ke mana lagi kalau tidak ke Baroh Ketong, Baroh Mok Lara, Baroh Atas Pasir, Baroh Perigi. Di situlah kawasan selalu mengena ikan puyu, haruan, keli menjadi sumber rezeki. Kini sudah segalanya hilang dalam lipatan sejarah, dikenang oleh golongan tua semakin pupus dan bertambah tiada, kecuali masih tertinggal catatan dalam buku dan dalam cerita. Bukan sebuah realiti seperti yang mereka saksikan dengan mata kepala.

Itulah sebuah kenyataan yang harus diterima. Bertahun-tahun baruh dinaiki rumput menerong itu tak pernah surut. Setahu Mat Deris, semenjak dia ingat, akhir tahun 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an, air tak pernah kering. Cuma yang Mat Deris perasan ialah suasana Baroh Ketong bertambah sepi, setelah manusia tidak lagi menjadikan kawasan lurah sawah padi dalam itu sebagai sumber rezeki. Mat Deris masih boleh mengingati, betapa pada musim tengkujuh, Baroh Ketong itulah tempat mula-mula dinaiki air. Walaupun suasana tengkujuh menutup pandangan petani dan kelihatan redup sepanjang hari, tetapi permukaan air di Baroh Ketong tetap bersinar oleh pantulan malap matahari ke muka genangan air lutsinar. Zaman dahulu, baruh itu menjadi pengecaman kepada penduduk kampung sekitar. Dari Kampung Banggul Ubi Keling, Kampung Nibong, Kampung Bechah Kida, Kampung Padang Mukom, Kampung Tok Dap, Kampung Bunut Budu, Kampung Gelam, Kampung Kedepel, Kampung Morkel, Kampung Binjal, Kampung Bemban, Kampung Lakar, baruh ini boleh dilihat dengan jelas kerana kawasan bercucuk tanam petani di situ. Ketika orang kampung menanam padi musim, selama enam bulan mereka akan turun ke bendang, dari mula menggembur tanah dengan hanya mengguna kerbau dan lembu untuk membajak sawah, menabur benih padi di petak khusus, sehinggala­h menenggal petak-petak sawah di sekitar baruh, juga kawasan daratan. Bila selesai melakukan kerja pertanian seperti itu, selama enam bulan pula mereka memberi tumpuan kepada kegiatan lain. Mat Deris masih ingat kesemuanya itu. Masih ternampak dalam kepalanya, betapa kehidupan masa itu cukup susah, sengsara tetapi menarik untuk dikenang.

"Sudah tiada!" Getus hati kecil Mat Deris. Kakinya melangkah menyusuri jalan baharu sahaja diturap minyak tar keliling baruh tersebut. "Kesemuanya sudah hilang tetapi masih rasa sangat baru dalam kenanganku." Sambung bisikan Mat Deris lagi. Pagi ini, sengaja Mat Deris mahu berjalan mengelilin­g kampung itu menuju belakang Klinik Kesihatan. Dahulu, tempat itu hanya ada batas dan permatang sawah yang putus-putus dan becak. "Sekarang semua sudah tiada. Tetapi dalam kepalaku, masih tetapi terungkap segalagala­nya. Dengan haruman bunga padi, decup-decup ikan di dalam air, daun-daun padi terhampar persis permaidani, gerakan-gerakannya ke hulu dan ke hilir umpama orang menari dan berjoget. Oh, memang mengasyikk­an." Perasaan Mat Deris berkepul dan berkelun dalam senak dadanya.

Dia sampai berdekatan Baroh Atas Pasir. Di situ ada sebuah perkampung­an lama ditinggalk­an orang. Mat Deris masih teringat, seorang bangsa Siam memeluk Islam tinggal di perkampung­an lama itu. Mata Mat Deris menyelusup­i ke dalam kawasan rumah seram itu. Tok Che Hat, itu nama diberikan oleh orang ramai. Rumah berbentuk potong Perak itu selalu dikunjungi oleh manusia dari serata cerok. Mat Deris masih teringat, suatu ketika ada sekumpulan kaki judi cuba buka ‘bong’ perjudian berdekatan dengan rumah Tok Che Hat itu, tetapi tidaklah begitulah, pihak berkuasa datang, memburu kaki judi, dan menutup ‘bong’ tikam cat jeki, ewok, pelage sepilar dan pelage ayam.

"Ah, itu kubur budak mati dibunuh. Bukan satu, tetapi dua, tiga, empat, lima, enam. Oh, banyak!" Bulu roma Mat Deris tiba-tiba meremang berdiri. Baharu Mat Deris teringat kerja Tok Che Hat ialah mencekik bayi dalam perut perempuan mengandung di luar nikah. Amat menakutkan. Kerja haram. Bukan sahaja mengandung sebelum diijabkabu­l, tetapi dibunuh pulak.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia