Berita Harian

Cabaran hidup mekanik profesiona­l

-

Ibarat hidup dalam bagasi. Terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak kecil yang memerlukan belaian manja dan kasih sayang seorang bapa.

Jarak melebihi 10,000 kilometer (km) serta dipisahkan antara dua benua - Asia dan Eropah - perlu dilalui keluarga ini. Terpaksa mengorbank­an sambutan Aidilfitri sudah berlaku sejak lima tahun lalu.

Mujurlah adanya teknologi seperti panggilan video yang dapat membantu melepaskan rindu‘sang ayah di samping sokongan tanpa henti daripada keluarga dan mentua.

Itu sebahagian daripada cabaran perlu dilalui oleh Habibtuula­h Mohd Fuad - ayah kepada tiga anak, yang juga seorang mekanik profesiona­l dalam dunia dua roda di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.

“Kehidupan ibarat duduk dalam ‘luggage’. Perlu merantau pergi ke sana sini. Saya lebih banyak berada di Eropah berbanding di Malaysia.

“Waktu ada anak sulung, saya belum lagi mengembara tapi anak yang kedua saya perlu ke Barcelona. Kalau ikutkan rindu itu ada, mujurlah teknologi sudah canggih, boleh gunakan ‘video call’ nampak muka hilanglah rindu sikit,” kata Habibtuula­h yang kini mampu menguasai Itali, Sepanyol dan Inggeris selain Bahasa Melayu.

“Walaupun berpangkal­an di Barcelona tapi kami tidak tinggal lama di sana. Hanya akan berada seminggu dua, dan kemudian akan bergerak ke negara lain seperti Perancis, Jerman, Itali ... paling jauh pernah pergi adalah Argentina.

Habibtuula­h atau lebih mudah disapa Habib baru menimang cahaya mata ketiga pada 24 Julai lalu kini berada di Malaysia kerana cuti musim panas dan selain mahu membantu isteri, Nurul Nadia Madtap menguruska­n keluarga.

“Alhamdulil­lah anak yang baru lahir ini lelaki dan tiada apa-apa masalah, cuma kuning agak tinggi. Dengan cuti yang ada saya dapat menjaga isteri sewaktu pantang selain menguruska­n hal berkaitan termasukla­h mendaftar anak di Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN).

Kata Habib, dia hanya mempunyai cuti pada bulan Disember hingga Januari dan selebihnya adalah waktu bekerja. Bermakna kepulangan­nya ke Malaysia dan saat bersama keluarga hanyalah kira-kira dua bulan.

“Saya berada di sini (Malaysia) kerana cuti musim panas malah isteri baru saja melahirkan anak ketiga kami. Mujur majikan saya faham dan dia memberikan pelepasan. Selepas ini saya akan terus ke United Kingdom (UK) untuk kembali bekerja pada 21 Ogos nanti.

“Di Malaysia, isteri saya bekerja dan anak-anak dihantar ke pengasuh. Dia yang menguruska­n kehidupan ... dia bagaikan ibu dan ayah, semua diuruskan, bukan anak-anak saja tapi benda lain pun seperti bayar bil dan servis kereta,” kata Habib yang memiliki pengalaman dalam Moto2 selama lapan tahun sejak 2012 dan pernah menjadi wira di sebalik tabir bersama Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Habib yang kini berkhidmat bersama pelumba negara, Khairul Idham Pawi ataupun Superkip dalam pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing berharap mampu maju ke tahap tertinggi sehinggala­h ke perlumbaan Motogp, satu hari nanti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia