Berita Harian

Hebat di litar go-kart

-

Oleh Zubir Mohd Yunus

Sukan atau perlumbaan gokart sering dikaitkan dengan aktiviti ekstrem khusus bagi mereka yang suka kepada cabaran dan kelajuan, dalam masa sama mungkin melepaskan tekanan.

Namun, seiring peredaran waktu dan permintaan tinggi industri pelanconga­n, aktiviti go-kart, kini ‘berwajah’ baharu apabila menampilka­n konsep lebih santai dengan penekanan gaya hidup sihat.

Aktiviti go-kart bukan lagi khusus dalam kalangan profesiona­l sahaja, malah mereka yang kali pertama mencuba sukan berkenaan, termasuk pelancong, tidak berdepan sebarang masalah. Malah, kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke atas, mampu mengendali­kannya apabila disediakan beberapa kategori pilihan untuk disesuaika­n dengan umur dan tahap kemahiran pemanduan mereka.

Lazimnya, ibu bapa yang datang bersama anak-anak, mahupun pasangan pelancong, akan memilih go-kart kategori double seater atau tandem apabila jentera perlumbaan ringan itu disediakan bersama dua tempat duduk dan stereng. Bersama kelajuan maksimum 65 kilometer/sejam (km/j) dan 5.5 kuasa kuda (HP), pemanduan go-kart double seater lebih santai, seolah-olah makan angin.

Kali terakhir penulis memandu go-kart adalah kira-kira setahun lalu apabila berkunjung ke sebuah taman tema. Justeru, apabila memandu go-kart di atas laluan trek yang memenuhi piawaian antarabang­sa, terasa diri seolah-olah pemandu profesiona­l.

Namun, atas faktor keselamata­n, penulis lebih selesa memilih go-kart kategori regular dengan kelajuan maksumum 70km/j.

Dalam kalangan mereka yang sering memandu go-kart dan paling penting sudah mahir dengan selok-belok trek yang terdapat di City Karting Internatio­nal Kart Circuit Shah Alam, terletak bersebelah­an Stadium Shah Alam, bolehlah mengendali­kan siri pro kart dengan kelajuan maksimum 90km/j dan enjin 16HP. Lazimnya kategori ini menjadi pilihan pemandu profesiona­l.

Pengunjung yang kerap bertandang ke go-kart litar Shah Alam, hampir setiap hujung minggu, Ahmad Sharizal Jimin, 48, yang juga pengarah di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), memiliki gokart sendiri, model Kosmic DD2, kategori 125cc apabila beliau pernah memandu dengan kelajuan maksimum 115km/j, sekali gus bertaraf profesiona­l.

“Kami memilih aktiviti go-kart sebagai riadah keluarga pada hujung minggu. Bagi saya, selain menguji kemampuan diri dan menggilap kemahiran pemanduan, sukan go-kart adalah aktiviti gaya hidup yang sihat. Ia bukan sukan mahal, semua orang berpeluang menikmati aktiviti pemanduan go-kart berdasarka­n kemampuan masing-masing.

“Selain merapatkan hubungan silaturahi­m sesama anggota keluarga, memandu go-kart kita memperoleh keseronoka­n dan terbukti ia cabang sukan berbentuk senaman kardio.

“Bayangkan, untuk 10 minit pemanduan atau satu sesi, ia mampu membakar sehingga 235 kalori dengan degupan jantung 134. Lazimnya saya berlumba sehingga dua hingga tiga jam bersamaan tujuh sesi.

“Justeru, go-kart adalah sukan pemotoran yang sangat baik untuk kesihatan jantung. Lebih penting, anda boleh bawa keluarga untuk sama-sama beriadah, biar semua sihat. Pelancong juga suka dengan litar go-kart di Shah Alam, selain lasak, ia menepati piawaian trek perlumbaan dan diiktiraf Persekutua­n Karting Antarabang­sa,” kata bekas peguam ini.

Aktiviti go-kart juga mampu mendidik individu teknik memotong kenderaan dengan betul, menampilka­n etika pemanduan yang tinggi dan disiplin, sekali gus mengurangk­an risiko kemalangan, selain salah satu cabang sukan ekstrem yang membantu seseorang itu melepaskan tekanan kerja dan perasaan.

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin / BH ) ?? Pemanduan go-kart secara tandem sesuai untuk riadah keluarga.
(Foto Eizairi Shamsudin / BH ) Pemanduan go-kart secara tandem sesuai untuk riadah keluarga.
 ??  ??
 ??  ?? Persiapan fizikal dan minda antara yang dituntut sebelum memulakan perlumbaan.
Persiapan fizikal dan minda antara yang dituntut sebelum memulakan perlumbaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia