Berita Harian

Keputusan benar kilang perbaharui lesen 15 Ogos

-

Shah Alam: Keputusan sama ada kilang nadir bumi Australia, Lynas Corp Ltd (Lynas), dibenarkan memperbaha­rui lesen operasinya di Malaysia akan diketahui pada 15 Ogos ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan juga akan mengumumka­n keputusan sama ada bahan radioaktif daripada kilang Lynas di kawasan perindustr­ian Gebeng itu, perlu dihantar ke negara asal atau sebaliknya.

“Lesen operasi Lynas sepatutnya tamat pada 2 September ini dan Lynas sudah membuat permohonan untuk memperbaha­rui lesen pada 2 Ogos, iaitu semalam (kelmarin).

“Syarat permohonan untuk memperbaha­rui lesen perlu dilakukan sebulan sebelum tarikh lesen tamat.

“Apa pun kita tunggu keputusan Kabinet nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarka­n Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustaka­an Awam Selangor di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, beliau akan mengadakan dialog dengan Ahli Parlimen berhubung isu kilang Lynas, pada Selasa ini.

“Ada Ahli Parlimen yang bantah kerana benarkan kilang Lynas beroperasi dan juga isu sisa radioaktif. Jadi, kita akan bertemu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas, beliau berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak menyuaraka­n pandangan.

“Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuaraka­n kebimbanga­n dengan isu alam sekitar.

“Namun, apa yang boleh saya katakan keputusan yang dicapai dalam isu kilang Lynas ini adalah keputusan paling ideal dan terbaik,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia akan membenarka­n Lynas untuk terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu menamatkan ketidakpas­tian yang menyelubun­gi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharua­n lesen operasinya digantung sementara.

Akhir tahun lalu, Kementeria­n Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat bagi pembaharua­n lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia