Berita Harian

Isteri gagal selamat pemilik restoran mati terbakar

-

Klang: Cubaan seorang wanita menyelamat­kan suaminya yang menjerit meminta tolong, gagal berikutan api marak membakar restoran mereka di Taman Chi Liung, Pandamaran, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, Lim Kim Book, 59, yang juga pemilik restoran makanan laut itu dikatakan sedang tidur ketika kebakaran bermula dan tidak dapat menyelamat­kan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya difahamkan isteri mangsa berusia 60-an yang berada di dapur, terdengar jeritan suaminya sebelum bergegas ke bilik tidur di restoran berkenaan.

Beliau berkata, wanita itu pergi ke bilik tidur mereka, tetapi tidak dapat masuk kerana api sudah marak, sebelum segera menyelamat­kan diri.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja dengan kekuatan tiga pegawai serta 24 anggota, tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.

“Mayat mangsa ditemui berhampira­n bilik tidur di restoran berkenaan dalam keadaan rentung. Mangsa dipercayai tinggal di restoran itu, manakala anak mereka tinggal berasingan.

“Kami percaya mangsa terperangk­ap di bawah runtuhan siling yang terbakar. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Hafisham berkata, kebakaran di binaan seluas 594.6 meter persegi itu dikawal kira-kira jam 8.10 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 9.15 pagi.

Beliau berkata, premis itu terbakar 80 peratus dan Bahagian Penyiasata­n Kebakaran JBPM Selangor sedang menjalanka­n siasatan punca kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia