Berita Harian

Graduan cemerlang UNITEN dirai

27 syarikat taja 77 anugerah pada Majlis Konvokesye­n Ke-22

- Oleh Syalikha Sazili syalikha@bh.com.my

Bangi: Seramai 70 graduan cemerlang peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswa­zah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima 77 anugerah pada Majlis Konvokesye­n UNITEN Ke-22 dan Majlis Anugerah Industri Graduan Cemerlang 2019, di sini, semalam.

Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Tun Abdul Rahman Abbas, berkata anugerah itu ditaja oleh 27 syarikat yang mempunyai jalinan hubungan industri dengan UNITEN bagi meraikan dan memberi penghargaa­n kepada graduan yang cemerlang dalam bidang pengajian serta aktif dalam pembabitan kokurikulu­m.

Katanya, konvokesye­n kali ini menyaksika­n seramai 2,317 orang pelajar bergraduat.

“Dalam meneruskan agenda pendidikan negara, UNITEN sentiasa menjamin kualiti pengajaran dan pembelajar­an yang setanding dengan universiti terkemuka dunia.

“Melalui pusat pengajaran dan pembelajar­an UNITEN menyediaka­n prasarana yang menyokong bentuk pembelajar­an alaf baru berasaskan teknologi dikenali sebagai blended learning. Malah 50 peratus subjek di UNITEN diajar dengan menggunaka­n kaedah ini.

“Pengintegr­asian blended learning dalam pengajaran dan pembelajar­an adalah pendekatan yang mampu meningkatk­an kualiti akademik pelajar, membantu pengurusan masa dan menghasilk­an graduan yang cemerlang melalui pensyarah dinamik dan adaptif,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesye­n UNITEN Ke-22, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Maggie dan Pro Canselor UNITEN, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Istimewa majlis kali ini ialah cucu kepada Abdul Rahman, iaitu Nik Akmal Nik Mohd Roseli, 23, turut bergraduat.

Nik Akmal tidak menafikan kadang kala ada tekanan sebagai cucu kepada seorang ahli akademik untuk tampil lebih cemerlang dan berkredibi­liti.

Graduan kejurutera­an mekanikal ini bagaimanap­un hanya melakukan yang terbaik dan berusaha sebaik mungkin.

“Beliau (Abdul Rahman) tidak memberi tekanan yang kuat sebaliknya memberi rangsangan untuk saya belajar bersungguh-sungguh. Belajar di sini sangat menyeronok­kan dengan sokongan ibu bapa dan rakan membuatkan perjalanan ini mudah.

“Saya kini sudah tamat belajar dan mendapat tawaran sebagai juruterban­g kadet di syarikat penerbanga­n Singapura,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor Emas, Ahmad Amin Ismail@ Ibrahim, 22, berkata beliau menggunaka­n pendekatan untuk mengimbang­kan pelajaran dan aktiviti kokurikulu­m bagi memastikan keputusan cemerlangn­ya itu tidak hanya diatas kertas.

“Ya, dulu saya belajar secara solo tetapi saya lihat perkara itu hanya memberi keuntungan kepada saya saja jadi saya berkongsi dengan rakan. Selain menjaga hubungan dengan Allah, pensyarah dan ibu bapa saya juga rajin membuat aktiviti komuniti.

“Kita sendiri akan rasa seronok apabila dapat membantu orang lain. Ini memberi kepuasan berganda dan anugerah yang saya terima ini dianggap rezeki hasil usaha dan doa,” katanya yang mengambil kursus ijazah sarjana muda dalam perakaunan.

Bagi penerima Anugerah Naib Canselor, Soo Mei Chia, 22, yang mengikuti kursus ijazah sarjana muda, komputer dan informasi, berkata rangsangan positif daripada penasihat akademikny­a banyak membantu menguatkan semangat.

“Galakkan untuk memasuki UNITEN adalah daripada guru sekolah dan kakak saya sendiri dan ia satu keputusan yang sangat tepat.

“Sokongan moral daripada keluarga, kawan dan pensyarah amat penting bagi saya kerana aura positif merangsang pembanguna­n individu,” katanya.

Selain itu, Tharik Jakir Hussein, 22, yang menerima Anugerah Pelajar Antarabang­sa Terbaik dari Fakulti Teknologi Maklumat pula berkata, UNITEN sememangny­a universiti berprestij.

“Saya berasal dari India namun menetap di Arab Saudi. Saya bangkit daripada seorang pelajar biasa kepada luar biasa.

“Pada awalnya lebih 20 universiti menolak permohonan saya, apabila UNITEN menerima kemasukan saya, ia adalah peluang keemasan dan saya buktikan kebolehan diri ini,” katanya.

 ?? [Foto Rosela Ismail/bh] ?? Abdul Rahman menyampaik­an Anugerah Canselor Emas kepada Ahmad Amin pada Majlis Konvokesye­n UNITEN Ke-22, di Bangi, semalam.
[Foto Rosela Ismail/bh] Abdul Rahman menyampaik­an Anugerah Canselor Emas kepada Ahmad Amin pada Majlis Konvokesye­n UNITEN Ke-22, di Bangi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia