Berita Harian

Sindrom ‘lambat panas’ gusarkan Mora

-

Johor Bahru: Sindrom lambat panas mengundang kegusaran ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yang mengakui tidak berpuas hati dengan corak permainan pemainnya pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia, di sini, kelmarin.

Mora menegaskan walaupun skuad Harimau Selatan menewaskan UITM FC 3-1 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, namun secara keseluruha­n masih ada kelemahan harus diperbaiki menjelang aksi menentang PJ City FC di gelanggang sama, Rabu ini.

“Kami tidak 100 peratus berpuas hati dengan persembaha­n pada perlawanan ini kerana tahu pemain mampu memberi persembaha­n lebih baik terutama dalam aspek taktikal dan kekuatan mental.

“Saya tidak nafikan kami menentang pasukan terbaik dari Liga Perdana namun selaku pasukan Liga Super kami sepatutnya dapat mengawal permainan tanpa membiarkan pasukan lawan mengambil kesempatan bermain dengan corak serangan balas pantas.

“Apa yang berlaku dalam perlawanan itu, ada pemain yang tidak berada pada tahap memuaskan dan ia boleh berlaku kepada pemain tatkala beraksi dalam perlawanan pertama dan sindrom itu bukanlah serius, ia boleh diatasi,” katanya.

Mora berkata, apa yang mustahak skuad Harimau Selatan bermula dengan langkah kanan apabila meraih tiga mata tatkala beraksi di laman sendiri dan apa yang perlu dilakukan adalah mengkaji semula beberapa kelemahan sepanjang perlawanan itu bagi memastikan situasi sama tidak berulang.

Ditanya mengenai persembaha­n Safawi Rasid yang kurang menyerlah ketika menentang skuad The Lion Troops, beliau menegaskan pemain muda itu perlu lebih kerap mendapat bantuan daripada rakan sepasukan untuk memastikan rentak pemainnya tidak terjejas dan optimis pemain itu akan bangkit.

Mora juga tampak lega dengan sentuhan penyudah Diogo Luis Santo yang kembali berbisa selepas meledak dua gol untuk memastikan JDT menang 3-1 dalam perlawanan itu malah berkeyakin­an pemain itu akan terus memberi sumbangan terbaik bagi mengharung­i kempen piala berprestij.

 ?? (Foto Hairul Anuar Rahim/bh) ?? Safawi diasak pemain UITM FC, Muhd Nursalam Zainal Abidin pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kelmarin.
(Foto Hairul Anuar Rahim/bh) Safawi diasak pemain UITM FC, Muhd Nursalam Zainal Abidin pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia