Berita Harian

Jepun buka cawangan universiti di Malaysia

University of Tsukuba tampil dengan tawaran serius, bakal jadi kenyataan 2020

-

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan menjadi negara pertama mempunyai cawangan universiti Jepun, dengan perancanga­n dibuka di Selangor atau Kedah.

Perdana Menteri berkata, kajian terperinci berhubung perkara itu dibuat selama setahun dan setakat ini, University of Tsukuba tampil dengan tawaran paling serius dan berkemungk­inan menjadi kenyataan menjelang tahun depan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kampus cawangan beberapa universiti dari Australia, Amerika Syarikat (AS), New Zealand, Kanada, United Kingdom dan China.

“Malaysia akan menjadi negara pertama mempunyai cawangan kampus universiti Jepun. Ada beberapa universiti membuat tawaran tetapi Tsukuba yang paling serius.

“Kita harap dapat memulakan (projek pembinaan) tahun depan. Mereka (Tsukuba) memeriksa enam lokasi dan mengecilka­n pilihan kepada dua iaitu satu di Kedah, satu lagi di Selangor.

“Selain pengetahua­n, kita dapati pendidikan Jepun memasukkan budaya untuk berjaya (dalam kalangan pelajar) tetapi kosnya amat tinggi untuk menghantar pelajar kita ke sana.

“Jika kita bawa universiti itu ke Malaysia, kita boleh memudahkan pelajar dari negara miskin untuk datang belajar di Malaysia,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja dua harinya di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, Jepun tidak pernah membuka kampus cawangan di luar negara atas dasar fiskalnya, tetapi Australia contohnya, membenarka­n universiti­nya membuka cawangan di luar negara seperti Monash University.

Dr Mahathir berharap tenaga akademikny­a adalah dari Jepun dan antara pilihan program termasuk program berkembar di mana pelajar akan dihantar belajar di Jepun selama dua tahun sebagai sebahagian daripada kursus.

Mengenai lawatannya, Perdana Menteri berkata, rakan sejawatann­ya di Jepun, Shinzo Abe, melihatnya sebagai peluang membincang­kan peranan Negara Matahari Terbit itu dalam membantu pembanguna­n Malaysia.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Khas Abe, Dr Hiroto Izumi.

“Abe menghantar penasihat utamanya bersama sembilan pakar daripada pelbagai bidang. Saya memberi pandangan berkaitan kewangan, hutang, bantuan pembanguna­n, rel berkelajua­n tinggi, pendidikan dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Dr Mahathir menafikan pemeroleha­n bon Samurai meletakkan Malaysia dalam dilema berhubung kilang memproses nadir bumi di Pahang, Lynas, susulan dakwaan Jepun akan menjadi pengimport terbesar produk itu.

Beliau berkata, kilang Lynas tidak akan ditutup selepas pakar mendapati sisa radioaktif yang ada adalah ‘pada tahap sangat rendah’ dan tidak berbahaya kepada kesihatan.

Pada masa sama, katanya, ia bertujuan mengekalka­n pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi.

“Kita yang panggil (datang melabur) lepas tu kita halau dia keluar. Orang lain kata negara buat janji, bila buat masalah dia halau pelabur... tak boleh macam tu.

“Kalau kita halau pelabur asing Lynas ini, yang lain (pelabur asing) tak akan datang (Malaysia). Sebab ada yang kita tak suka... maka kita suruh dia (pelabur) keluar. Siapa (pelabur) nak datang, mereka perlukan kepastian.

“Pakar buat laporan itu tapi ada pihak tak terima keputusan pakar. Ini jadi masalah kalau kita suruh pakar buat kajian, tapi tolak. Apa guna suruh pakar buat kajian,” katanya.

Mengenai desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tarikh peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dinyatakan, Dr Mahathir berkata, kekerapan menimbulka­n isu berkenaan boleh menimbulka­n ketidakten­tuan dan ketidaksta­bilan dalam negara.

Perdana Menteri menegaskan, beliau sudah berkali-kali menyatakan proses peralihan akan berlaku.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memotong kek sempena ulang tahun perkahwina­n yang ke-63 di Fukuoka.
(Foto BERNAMA) Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memotong kek sempena ulang tahun perkahwina­n yang ke-63 di Fukuoka.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia