Berita Harian

Asia kuat jika ketepi ‘sengketa lama’

-

Fukuoka: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuaraka­n keyakinan bahawa Asia mampu melakar kejutan untuk menawan ekonomi global sekiranya setiap negara anggota mengambil sikap berlapang dada untuk mengetepik­an sebarang pertikaian lampau.

Memetik contoh ledakan kemajuan teknologi komunikasi dan sektor pengangkut­an, Perdana Menteri berkata, komuniti Barat mampu menongkah arus untuk menjalin kerjasama dengan negara yang pernah dimusuhiny­a sehingga terjerumus dalam kancah peperangan.

Katanya, mereka kemudian merintis usaha ke arah membentuk kesatuan dan menjalin persefaham­an menerusi prinsip yang digariskan dalam Kesatuan Eropah (EU), selain melaksanak­an peralihan imej negara menjadi nadi serantau.

“Jerman pun menyertai Perancis dalam perarakan (Bastille Day), manakala Asia masih sibuk bertelingk­ah angkara episod permusuhan lalu. Sebab itu kita tidak mampu menubuhkan kesatuan dalam kalangan negara Asia seperti EU.

“Kita banyak buang masa mengenang pertikaian lampau, justeru persoalann­ya, sampai bila harus kita terus dibelenggu kisah lama?” katanya ketika menyampaik­an syarahan di Institut Kepemimpin­an Kyushu-asia, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta barisan eksekutif dari syarikat Kereta Api Kyushu dan Elektrik Kyushu.

Dr Mahathir berkata, semua pihak perlu sedar perubahan masa depan kini bakal menyaksika­n tiada lagi konsep satu etnik dalam mana-mana negara sehingga menyaksika­n wujud dasar menutup kemasukan asing kerana khuatir menjejaska­n pegangan ekonomi domestik.

“Ada yang enggan orang lain masuk ke negara mereka demi memelihara kepentinga­n tempatan. Amerika Syarikat (AS) sendiri pun membuka pintu kepada masyarakat berbilang bangsa walaupun presidenny­a (Donald Trump) kini cuba mengubah keputusan berkenaan.

“Susulan kemudahan perjalanan, dasar terbuka di sempadan dan teknologi komunikasi, semua negara di dunia ini akan terdiri daripada pelbagai bangsa pada bila-bila masa,” katanya.

Ketika sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata, Jepun berupaya mengorak langkah untuk ‘melebarkan’ potensi pendidikan pelajarnya dengan menghantar mereka merantau ke pelosok dunia demi menimba pengalaman kehidupan dan menyelami budaya masyarakat lain.

Mengenai cara menyuntik semangat patriotism­e dalam negara yang mempunyai latar belakang pelbagai bangsa, Dr Mahathir berkata, ia bergantung kepada penerimaan setiap individu terhadap nilai dan prinsip negara terbabit.

“Bekas Presiden AS (Dwight D) Eisenhower berketurun­an Jerman tetapi beliau tetap setia kepada negaranya sehingga nekad menentang Jerman,” katanya.

Kita banyak buang masa mengenang pertikaian lampau, justeru persoalann­ya, sampai bila harus kita terus dibelenggu kisah lama?”

Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia