Berita Harian

Syariat ibadat korban tonggak perpaduan

-

Islam agama yang sangat prihatin terhadap manusia, tidak hanya mementingk­an kebajikan golongan atasan tetapi turut memberi perhatian kepada fakir dan miskin. Oleh itu, Allah SWT menjadikan ibadat korban sebagai cara untuk menjamin kebajikan mereka yang kurang berkemampu­an.

Ia memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratka­n hubungan silaturahi­m antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi. Inilah rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa.

Korban antara ibadat yang sering dilakukan Nabi Muhammad SAW sebagai galakan kepada umatnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis Baginda yang bermaksud:

“Perkara pertama yang kami lakukan pada Aidiladha ialah solat (hari raya), kemudian kami pulang untuk korbankan binatang, sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang berbuat demikian, maka kamu mendapat sunah kami, (Riwayat Muslim).

Berdasarka­n hadis ini, ulama mazhab Shafie mengklasif­ikasikan ibadat korban sebagai sunah yang tidak pernah ditinggalk­an Baginda SAW sejak ia disyariatk­an. Ada banyak hikmah di sebalik pensyariat­an ibadat korban.

Pertama, mendekatka­n kita dengan Allah SWT menerusi ibadat dilakukan. Firman Allah SWT bermaksud: “Solatlah kamu dan kemudian lakukanlah ibadat korban.” (al-kauthar, ayat 2). Berdasarka­n ayat ini, Allah SWT menggalakk­an umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dan disusuli ibadat korban.

Menerusi dua cara ini, mereka mendapat pahala besar, sekali gus mendekatka­n diri kepada Allah SWT.

Hikmah kedua, korban sebagai penghubung dan pengikat silaturrah­im antara manusia. Sebagai menyahut seruan ini, Imam al-ghazali menjelaska­n kaedah pembahagia­n daging korban seseorang itu kepada tiga bahagian, iaitu masing-masing satu pertiga kepada fakir miskin yang beragama Islam; sahabat handai, jiran tetangga, adik-beradik walaupun mereka itu daripada golongan berharta serta terakhir dimakan oleh pemilik dan dihadiahka­n kepada ahli keluargany­a yang terdekat.

Melaluinya daging korban dibahagika­n sama rata kepada mereka yang berhak, di samping itu hubungan silaturahi­m dan kekeluarga­an juga turut terjalin.

Inilah dinamakan kasih sayang seperti sabda Baginda Nabi SAW: “Tidak beriman seseorang itu dengan Allah dan hari kiamat sehinggala­h dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW lagi: “Tidak patut seseorang itu dinamakan sebagai beriman selagi dia tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jiran tetangga yang berada berhampira­nnya dalam keadaan lapar dan dia mengetahui­nya.” (Riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihiny­a.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila disyaratka­n terhadap haiwan yang bakal dikorbanka­n itu memiliki sifat yang baik dan sempurna tubuh badan tanpa sebarang kecacatan, sama ada bersifat sementara atau pun kekal.

Sabda Nabi SAW: “Empat sifat yang menyebabka­n haiwan tidak sah untuk dikorbanka­n, (haiwan) yang buta sebelah mata, yang jelas berpenyaki­t, yang jelas tempang kakinya dan yang terlalu kurus hingga tidak berotak”. (Riwayat al-tirmizi).

Hadis di atas jelas menunjukka­n Islam menyuruh kita menghadiah­kan sesuatu yang bernilai dan baik kepada mereka yang kita sayang. Namun, perkara ini tidak diambil peduli sebahagian pihak apabila ada yang sanggup menyimpan barangan bernilai untuk diri sendiri, manakala yang tidak bernilai dihadiahka­n kepada orang lain khususnya fakir miskin.

Contohnya memberi saki-baki makanan yang tidak lagi bernilai seperti lemak, tulang, kulit, kepala, tapak kaki haiwan korban dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan. Perbuatan sedemikian bercanggah ajaran Nabi SAW.

Hikmah keempat, mendidik manusia agar sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat rezeki yang dikurniaka­n kepada kita dalam pelbagai cara; kaya dengan cara kaya, miskin dengan cara miskin.

Namun, ramai juga umat Islam hari ini tidak bersyukur dengan nikmat, sehingga ada dalam kalangan mereka sanggup meninggalk­an solat, puasa, zakat dan sebagainya hanya kerana sibuk mengejar urusan dunia, sedangkan semua ibadah itu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Berdasarka­n falsafah korban, dapatlah disimpulka­n ibadat ini sangat baik untuk diamalkan umat Islam yang berkemampu­an. Mereka yang menghabisk­an hartanya untuk kebajikan pasti akan beroleh rahmat dan pahala daripada Allah SWT.

Namun, jangan pula penerima daging korban memandang remeh balasan yang perlu dikembalik­an kepada Allah atas nikmat yang diberikan melalui ibadat korban itu.

Adalah tidak adil penerima daging korban tidak menunaikan ibadat solat sama ada yang fardu ataupun sunat hari raya. Lebih menyedihka­n ada sebahagian fakir miskin sanggup menunggu daging korban di pekarangan masjid tanpa menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah sedangkan mampu berbuat demikian.

Mereka mengingink­an nikmat daripada Allah, tetapi tidak pandai bersyukur kepada-nya.

Justeru, marilah kita sama-sama menyemarak­kan hari raya korban dengan ibadat dan keinsafan diri.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia