Berita Harian

‘Najib arah Raja Petra serang peribadi saya’

Husni dakwa jadi sasaran kes pelaburan RM4.17 bilion di Dewan Rakyat

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali, Farah Marshita Abdul Patah dan Fatin Hafizah Mohd Shahar bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, mendedahka­n Datuk Seri Najib Razak mengarahka­n penulis blog, Raja Petra Kamarudin, melakukan serangan peribadi terhadap beliau dan anak lelakinya.

Pendedahan itu dibuat Ahmad Husni dalam keterangan­nya pada perbicaraa­n kes SRC Internatio­nal Sdn Bhd yang dihadapi Najib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang masuk hari ke-50.

Ketika menjawab soalan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bilakah serangan itu dilakukan, Ahmad Husni menjawab: “Oktober 2016.”

Muhammad Shafee: Bila anda dapat idea bahawa Najib dalang di sebalik tuduhan gangguan seksual dibuat terhadap anda?

Ahmad Husni: Selepas saya berucap di Parlimen pada 2016 (merujuk kepada insiden Dewan Rakyat ketika beliau menuntut penjelasan berkenaan unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion) dalam Aabar Investment PJS Ltd).

Muhammad Shafee: Selepas itu Najib timbulkan idea itu? Ahmad Husni: Bukan timbulkan idea, saya tahu dia buat. Selepas kejadian itu, saya berada di rumah. Kemudian Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, datang ke rumah kira-kira jam 10 malam. Shukry beritahu, susah untuk cari rumah saya, namun disebabkan arahan Najib, beliau terpaksa pergi mencari saya. Saya dimaklumka­n oleh Shukri bahawa Najib ingin berjumpa saya malam itu juga. Saya memaklumka­n kepadanya saya penat. Shukry kemudian memberitah­u Najib sudah menghubung­i Raja Petra dan esok mereka akan menyerang saya.

Muhammad Shafee: Anda ada tanya Najib, sekiranya itu benar?

Ahmad Husni: Ada insiden lain, serangan pertama terhadap anak lelaki saya, Khalid daripada Tun Faisal Ismail, ketika itu CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Pengerusi Lebuhraya Pantai Baru (NPE) yang juga pemegang konsesi lebuh raya itu. Minit mesyuarat dihadiri Khalid dibocorkan kepada Raja Petra dan dimuat naik ke Facebook. Dalam hantaran di Facebook, saya dikatakan marah dengan Najib kerana anak saya (Khalid) gagal mendapatka­n projek bernilai RM2.7 juta. Hantaran Facebook itu kemudian dilaporkan Utusan (Malaysia) merujuk kepada bekas menteri terbabit skandal.

Ahmad Husni berkata, beliau kemudian menghantar pesanan kepada Najib dan bertanya “Apa ini?”

Katanya, Najib membalas: “Bincang dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak).

“Saya kemudian berbincang dengan Nazri dan keesokan harinya tiada lagi serangan,” katanya.

Dalam keterangan­nya, Ahmad Husni menafikan dakwaan tindakan itu menyebabka­n beliau kecewa dan marah terhadap Najib.

“Saya tidak kecewa. Saya hidup untuk UMNO, malah setiap hari saya berdoa Allah membuka pintu hati Najib untuk melihat kebenaran. Saya tidak pernah marah dengan Najib kerana beliau hanyalah manusia biasa,” katanya.

Menjawab soalan apa yang berlaku kepada projek membabitka­n anaknya, Ahmad Husni berkata, akibat penulisan Raja Petra, Khalid kemudian diberhenti­kan kerja.

Sementara itu, pada sesi pemeriksaa­n semula dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, Ahmad Husni berkata, antara sebab beliau meletakkan jawatan pada 2016 kerana bekas CEO 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, tidak mengikut pelan rasionalis­asi syarikat itu.

“Saya letak jawatan kerana pada pendapat saya, Arul Kanda (ketika itu) tidak mengikuti pelan rasionalis­asi 1MDB. Pelan itu termasuk menjual sejumlah aset 1MDB, namun masih mengekalka­n pegangan.

“Aset itu termasuk Bandar Malaysia, projek pembanguna­n mega, Tun Razak Exchange (TRX) dan Edra Power Holding Sdn Bhd,” katanya.

Ahmad Husni berkata, arahan untuk mencari penyelesai­an hutang 1MDB diberikan Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Menceritak­an lanjut mengenai bagaimana beliau meletakkan jawatan sebagai menteri, Ahmad Husni berkata beliau mendapat ilham untuk berbuat demikian selepas pulang dari Makkah.

“Saya berdoa di hadapan Kaabah, saya menangis... selepas balik dari Makkah saya dapat ilham untuk berhenti daripada jawatan Menteri,” katanya.

Ahmad Husni, yang memegang jawatan Menteri Kewangan II dari tahun 2009 hingga 27 Jun 2016, berkata hasratnya untuk meletakkan jawatan sudah setahun difikirkan, bagaimanap­un beliau berhasrat untuk menyelesai­kan Pelan Rasionalis­asi 1MDB bagi melangsaik­an masalah hutang syarikat itu.

Menurut Ahmad Husni, Najib memintanya menyediaka­n pelaksanaa­n pelan rasionalis­asi terbabit.

“Ini saya nak cerita, ketika saya transit di Istanbul, di sinilah pelan rasionalis­asi disiapkan. Saya buat pelan rasionalis­asi pada telefon bimbit saja.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia