Berita Harian

LHDN saman anak bekas PM, tuntut bayar RM37.6 juta

-

Kuala Lumpur: Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutny­a membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, kini anaknya pula diminta membayar RM37.6 juta cukai pendapatan tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, 36, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa Mohd Nazifuddin masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Notis Taksiran itu dihantar secara serahan sendiri kepada defendan pada 18 Mac lalu.

Kerajaan Malaysia mendakwa, disebabkan Mohd Nazifuddin gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari 2011 hingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaia­n Notis Taksiran ditetapkan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaska­n keseluruha­n cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa, sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan masih terhutang termasuk kenaikan yang semuanya berjumlah RM37,644,810.73

Jumlah itu ialah RM1,780,837.70 (2011), RM6,604,851.81 (2012), RM6,279,834.41 (2013), RM4,360,278.87 (2014), RM2,074,950.76 (2015), RM2,623,943.76 (2016) dan RM13,920,113.42 (2017).

Kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM37,644,810.73, faedah atas jumlah RM37,644,810.73 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakima­n sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes semalam secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Normaizan Rahim iaitu pihak yang terbabit mengendali­kan kes secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia