Berita Harian

Saya tiada hak tolak usul kerajaan: Speaker

-

Shah Alam: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sebarang usul yang mahu dibahaskan.

Susulan itu, Suee Lim berkata, isu kononnya beliau menyekat usul membabitka­n penukaran agama bagi anak bawah umur seperti yang didakwa pembangkan­g, tidak timbul.

“Sebagai seorang Speaker, saya hanya terbabit dengan pengendali­an Dewan seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat.

“Usul daripada kerajaan datang daripada pejabat Menteri Besar sebagai kuasa Eksekutif dan saya di pihak Legislatif tidak boleh menolak atau menerima usul berkenaan.

“Jika usul persendiri­an daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker mempunyai hak mempertimb­angkan sama ada diluluskan atau ditolak, sebelum dibawa ke Dewan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkan­g, Rizam Ismail kelmarin, bahawa Suee Lim sepatutnya meneruskan usul itu supaya dapat dibahaskan pada sidang DUN minggu lalu.

Portal berita kelmarin melaporkan, Menteri Besar, Amirudin Shari, dijadualka­n berjumpa pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri ketika kerajaan negeri pimpinanny­a dikatakan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Hasnizam Adham memberitah­u portal berkenaan mesyuarat itu akan diadakan di kediaman menteri besar di Shah Alam petang semalam.

Sementara itu, ditanya dakwaan ada gerakan untuk menyingkir­kannya susulan isu berkenaan, Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin itu kerana beliau sudah bertindak mengikut Peraturan Mesyuarat sidang DUN Selangor.

Pada masa sama, Suee Lim mengakui beliau mendengar khabar angin itu mulai bertiup selepas sidang DUN Selangor ditangguhk­an Rabu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia