Berita Harian

Huawei komited melabur hasilkan produk berkualiti

Tingkat pelaburan RM420.64 bilion bagi tempoh lima tahun

-

Huawei, gergasi teknologi dari China sentiasa komited untuk melabur dalam memastikan penghasila­n produk dan perkhidmat­an berkualiti sekali gus memastikan jenamanya terus berdaya saing di pasaran global.

Ketua Pemasaran dan Strategi Huawei Rantau Pasifik Selatan, Lim Chee Siong berkata, komitmen pelaburan itu boleh dilihat apabila syarikat itu menetapkan sekurang-kurangnya 12 peratus daripada pendapatan globalnya bagi tujuan terbabit.

“Untuk tahun ini, kami memperuntu­kkan sebanyak AS$17.5 bilion (RM73.61 bilion) bagi tujuan pelaburan dan kami merancang untuk meningkatk­annya kepada AS$100 bilion (RM420.64 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi terus menyumbang kepada perkembang­an teknologi dunia pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Konvensyen Pembekal Huawei Rantau Pasifik Selatan 2019 di Kuala Lumpur, semalam.

Huawei melabur kira-kira AS$14.41 bilion (RM60.61 bilion) iaitu 14.1 peratus daripada pendapatan jualannya pada tahun lalu dan tersenarai di tempat kelima dunia dalam papan skor pelaburan pembanguna­n dan penyelidik­an (R&D) perindustr­ian Kesatuan Eropah (EU).

Huawei menganjurk­an Konvensyen Rantau Pasifik 2019 yang dihadiri 110 rakan niaga, 220 peserta dan 100 pekerja dari lima negara dalam rantau itu membabitka­n Brunei, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Singapura.

Sementara itu, Presiden Huawei Rantau Pasifik Selatan, Jeffery Liu berkata, konvensyen tahunan itu bertujuan untuk berkongsi strategi dan transforma­si model penyampaia­n dan digital Huawei di samping menggalakk­an Huawei dan rakan niaga bekerjasam­a mempromosi­kan pelaksanaa­n aplikasi digital.

“Dengan tema ‘Transforma­si Bersama, Membina Ekosistem’, acara ini memberi fokus bagi mempromosi­kan dan mengukuhka­n kerjasama antara Huawei dan pembekal.

“Ia untuk menyokong visi syarikat dalam membina dunia pintar dan terhubung dengan membawa akses digital kepada setiap individu, kediaman serta organisasi,” katanya.

Pada masa ini, Huawei Rantau Pasifik Selatan memiliki lebih daripada 6,200 pekerja di seluruh rantau ini dengan 80 peratus daripadany­a adalah tenaga kerja tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia