Berita Harian

Sorok dadah belakang rumah

Lima beranak bersama dua wanita ditahan

- Oleh Syaherah Mustafa cnews@nstp.com

Pasir Mas: Lima beranak bersama dua wanita ditahan selepas polis menemui dadah jenis syabu seberat 18.5 kilogram bernilai RM927,000 di belakang sebuah rumah di Kampung Banggol Kulim, di sini, Selasa lalu.

Dalam operasi jam 11 malam itu, lima beranak berusia antara 17 hingga 59 tahun yang ditahan adalah pasangan suami isteri dan tiga anak mereka, manakala dua wanita itu pula adalah warga Thailand yang juga saudara keluarga berkenaan, masing-masing berusia 20 dan 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata tangkapan dan rampasan itu dilakukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Awam (PGA 8) hasil risikan dan maklumat awam.

“Ketika serbuan, semua suspek berada di ruang tamu rumah dan pemeriksaa­n dalam rumah tidak menemui barang salah.

“Pemeriksaa­n di luar rumah pula menemui guni berisi 18 bungkusan plastik ketulan kristal disyaki syabu di dalam semak kira-kira 30 meter dari rumah mereka.

“Ini rampasan dadah terbesar diperoleh PGA 8 pada tahun ini,” katanya pada sidang media sebelum Majlis Serah Tugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdullah menyerahka­n tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas kepada timbalanny­a, Superinten­dan Ismail Jusoh yang akan memangku jawatan itu berkuat kuasa semalam, memandangk­an Abdullah dinaikkan pangkat Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, polis percaya bekalan dadah itu untuk diedarkan di pasaran luar negeri ini.

“Polis juga mengesan taktik terbaru sindiket dadah yang tidak menyimpan stok dalam rumah kerana tahu kebarangka­lian hukuman ringan dikenakan jika tindakan itu dihidu pihak berkuasa.

“Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam (kelmarin) sehingga 13 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatka­n kerjasama Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penyebaran maklumat dan gambar kes dadah itu di media sosial sejak kelmarin.

“Kita akan siasat perkara ini dan mendapatka­n kerjasama SKMM,” katanya.

 ?? [Foto Nik Abdullah Nik Omar /BH] ?? Abdullah (tengah) menunjukka­n bungkusan mengandung­i syabu bernilai RM927, 000 di Ibu Pejabat IPD Pasir Mas, semalam.
[Foto Nik Abdullah Nik Omar /BH] Abdullah (tengah) menunjukka­n bungkusan mengandung­i syabu bernilai RM927, 000 di Ibu Pejabat IPD Pasir Mas, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia