Berita Harian

11,000 asnaf di Lembah Pantai dibantu

Skuad Jejak Asnaf MAIWP turun padang bantu golongan memerlukan

-

Kuala Lumpur: Kira-kira 11,000 asnaf di sekitar Lembah Pantai menerima bantuan zakat dengan peruntukan bernilai RM20 juta sejak tahun lalu hingga kini, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Beliau berkata hasil usaha Skuad Jejak Asnaf MAIWP, golongan asnaf dapat dikesan dan diberi bantuan sewajarnya.

“Kami tidak tunggu asnaf datang kepada MAIWP sebaliknya turun padang dan melihat sendiri masalah dihadapi golongan asnaf.

“Kami sentiasa bersedia untuk memberi sebarang bantuan.

“Ini usaha kami untuk mendekati asnaf dan membelanja­kan wang daripada pembayar zakat mengikut peraturan ditetapkan menerusi 28 skim bantuan terhadap golongan asnaf,” katanya.

Syed Hussien berkata demikian selepas menyampaik­an bantuan kepada empat keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, semalam.

Melalui program semalam, empat keluarga asnaf itu menerima bantuan seperti susu, lampin pakai buang serta barangan keperluan asas.

Penerima bantuan itu, Farah Wahidah Abd Wahab, 33, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima apatah lagi anak bongsunya Muhammad Faiq Mikhail Mohd Hafiz, 2, menghidap penyakit hidrosefal­us dan perlu kerap mendapatka­n rawatan di hospital.

“Alhamdulil­lah dapat bantuan ini, kami banyak berbelanja untuk rawatan anak di hospital jadi kadang-kadang lampin pakai buang dan susu tak mampu beli jadi (bantuan) ini sedikit sebanyak membantu kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Zaiton Zubir, 36, turut berterima kasih atas bantuan MAIWP yang prihatin terhadap keadaan keluarga dan anaknya Noor Amila Raina Pak Adek @ Mohd Sabri, 5, yang menghidap penyakit jantung kronik.

Selain Skuad Jejak Asnaf, MAIWP mewujudkan pelbagai mekanisme seperti Jejak Gelandanga­n, kaunter bergerak dan Skuad Musibah yang akan turun padang dalam tempoh 48 jam bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir.

Orang ramai yang ingin membantu golongan asnaf di sekitar Wilayah Persekutua­n boleh menghubung­i talian hotline jejak asnaf MAIWP yang beroperasi selama 24 jam setiap hari di nombor 012-5127614 dan 012-5183614.

BERNAMA

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (kiri) dan Syed Hussien (kanan) bersama Muhammad Faiq Mikhail sambil diperhatik­an ibunya, Farah Wahidah pada program penyampaia­n bantuan kepada empat keluarga asnaf di PPR Kerinchi, semalam.
(Foto BERNAMA) Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (kiri) dan Syed Hussien (kanan) bersama Muhammad Faiq Mikhail sambil diperhatik­an ibunya, Farah Wahidah pada program penyampaia­n bantuan kepada empat keluarga asnaf di PPR Kerinchi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia