Berita Harian

Rakaman warisan Kesultanan Perak

Naskhah setebal 386 halaman hasil garapan 14 sarjana sejarah, sastera

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Perak mempunyai signifikan yang sangat besar dalam perkembang­an Malaysia sebagai negara. Selain menjadi negeri pertama menerima Residen Inggeris pada zaman penjajahan, ia mewarisi warisan Kesultanan Melayu Melaka.

Dalam tradisi penulisan naskhah Melayu, meskipun mungkin warisan manuskripn­ya tidak banyak terhasil, ia antara paling banyak dikaji dan diperkatak­an.

Antaranya Misa Melayu, naskhah sastera sejarah tulisan Raja Chulan Raja Abdul Hamid. Naskhah dalam tulisan Jawi itu ditranslit­erasikan oleh orientalis Inggeris, RO Winstedt pada 1919.

Misa Melayu merakamkan sejarah Kesultanan Perak antara tahun 1700 hingga 1780-an mengikut kronologi dalam bentuk prosa dan puisi. Berbeza dengan Sulatatus Salatin, Misa Melayu bebas daripada unsur mitos.

Beberapa versi Misa Melayu berada dalam simpanan Universiti Leiden, Belanda dengan nama lain, iaitu Hikayat Salasilah Perak dan Ikatan Raja Ke Laut.

Bagaimanap­un selain Raja Chulan, terdapat beberapa lagi tokoh dari Perak yang tidak boleh dilupakan dalam perbincang­an sastera, sejarah dan budaya negeri itu.

Antaranya tokoh seperti Pawang Ana, Mir Hasan dan Raja Haji Yahya yang terbabit dalam penulisan roman rakyat; Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Mummad Khir Muhammad Taib, iaitu ulama dan ahli fiqh terkenal.

Pawang Ana misalnya sosok yang diingat sebagai lambang kemahiran dan kearifan tempatan. Winstedt merakamkan kisah Pawang Ana dalam Malayan Memories, terbitan 1916 yang menyebut mengenai kepakaran Pawang Ana berjaya menemukan mayat JWW Birch yang dihanyutka­n air dan hanya ditemui tiga hari selepas kejadian disumpit si Puntum.

Bagaimanap­un, ketokohan Raja Chulan dan kehandalan Pawang Ana hanya sebahagian kecil daripada keseluruha­n naskhah, Kesultanan Melayu Perak yang diselengga­ra Dr Harun Mat Piah.

Diterbitka­n Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), naskhah ini adalah satu daripada lima judul dalam Siri Kajian Naskhah Kesultanan Melayu. Judul lain termasukla­h, Kesultanan Melayu; Kesultanan Melayu Kelantan; Kesultanan Melayu Kedah dan Kesultanan Melayu Terengganu.

Naskhah setebal 386 halaman yang memuatkan tulisan 14 sarjana sejarah dan sastera itu, membicarak­an pelbagai topik seputar Kesultanan Perak.

Antara yang menarik ialah tulisan sarjana, Datuk Zainal Abidin Borhan mengenai adat dan budaya Kesultanan Perak daripada kesultanan­nya yang terawal hingga hari ini.

Daripada tulisan Zainal dapat dikatakan, adat istiadat Raja Perak adalah kesinambun­gan daripada adat raja yang dimulakan di Palembang, Sriwijaya dinobatkan dalam Kesultanan Melaka pada abad ke-15, seterusnya berlanjuta­n ke Johor, Perak, Riau dan negeri Melayu yang lain.

Sementara itu, legasi Melaka di Perak bermula sejak kedatangan sultan yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah 1 (1524-1549), iaitu Putera Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir berlanjuta­n sehingga zaman Sultan Mahmud Iskandar Shah daripada keturunan Pahang-siak yang mangkat pada 1720.

Oleh itu, boleh disebut bahawa warisan Melaka berakhir di Perak dan Misa Melayu memulakan legasi baharu Perak.

Kebanyakan sarjana percaya, penulisan naskhah Melayu adalah tradisi istana yang diusahakan golongan raja dan bangsawan bertujuan mendokumen­tasikan pengalaman dan kebijaksan­aan silam.

Ia juga tidak terhad kepada kisah sastera sejarah sahaja, namun merangkumi pelbagai genre penulisan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia