Berita Harian

Malaysia mara ke final

Buat perhitunga­n dengan Mesir buat kali kedua berturut-turut

- Oleh Jumiati Rosly jumiati@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan wanita negara menepati ramalan apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia selepas menewaskan Hong Kong, 2-0 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan akhir hari ini yang dijadualka­n bermula jam 3 petang, skuad negara dijadual bertemu penyandang juara, Mesir yang terdahulu mengatasi. Ini adalah kali kedua berturut-turut pasukan wanita negara mara ke final selepas di New Zealand dua tahun lalu.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan kedua, Chan Yiwen memberi sinar pada skuad negara apabila mudah menghadiah­kan mata pertama dengan menewaskan pemain Hong Kong, Kirsty Wong 11-2, 11-3, 11-0 dalam hanya 15 minit perlawanan.

Perlawanan kedua bagaimanap­un agak mendebarka­n dengan wakil negara, Aifa Azman diseret hingga ke set penentuan sebelum dapat menjinakka­n lawannya, Chan Sin Yuk 11-2, 6-11, 14-12, 13-15, 11-9 dalam tempoh 44 minit.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Aifa berkata: “Perlawanan hari ini (malam tadi) mengingatk­an saya kembali pada separuh akhir acara individu Sabtu lalu apabila saya diseret ke set penentuan sebelum kalah kepada Jana Shiha (Mesir).

“Beberapa kali saya terjatuh (ketika perlawanan) dengan saya rasakan kedua-dua lutut saya terasa sakit tetapi tidak ada kecederaan serius. Saya berjaya mengatasi ketakutan dan kesakitan itu... saya rasa saya telah lakukan dengan baik,” katanya.

Mengenai perlawanan akhir bertemu Mesir yang juga juara tujuh kali berturut-turut, Aifa berkata: “Saya tak takut atau gementar perlawanan esok (hari ini). Saya akan berusaha lebih lagi untuk esok (hari ini),” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad remaja wanita negara memperoleh suntikan motivasi apabila Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksika­n perlawanan berkenaan.

Perlawanan separuh akhir ini mencipta sejarah sebagai acara sukan yang pertama disaksikan oleh Al-sultan Abdullah selepas Istiadat Pertabalan Yang di-pertuan Agong Ke-16 pada minggu lalu.

Sebagai rekod, skuad remaja negara tidak pernah memenangi kejohanan yang diadakan dua tahun sekali ini dengan kejohanan lalu di New Zealand menyaksika­n negara berpuas hati di tempat kedua apabila tewas 2-0 kepada Mesir.

 ?? (Foto Hafiz Sohaimi/bh) ?? Aksi Aifa (kiri) ketika menentang Chan Sin Yuk pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia 2019 di Bukit Jalil, malam tadi.
(Foto Hafiz Sohaimi/bh) Aksi Aifa (kiri) ketika menentang Chan Sin Yuk pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia 2019 di Bukit Jalil, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia