Berita Harian

Pemain muda berbakat ‘layu’ awal

Wujud sindrom gagal ketika memasuki alam senior

- Oleh Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: ‘Jangan jadi katak bawah tempurung’! Itu pesanan buat barisan pemain muda negara yang dicanang sebagai aset penting masa depan skuad Harimau Malaya.

Ia susulan pemain muda ketika ini dilihat mampu menjadi pelapis terbaik untuk bola sepak negara terutama pemain dari skuad bawah 15 (B-15) tahun dan B-18.

Hanya apa yang membimbang­kan, bakat pemain ini ‘mati’ selepas memasuki alam pemain senior seperti yang terjadi ke atas beberapa pemain harapan sebelum ini seperti Syahrul Azwari Ibrahim, Irfan Fazail dan Rozaimi Abdul Rahman.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UITM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, menyenarai­kan beberapa faktor yang menyebabka­n bakat pemain muda yang cemerlang bersama skuad bawah umur, tetapi tenggelam apabila memasuki pasukan senior.

Beliau berkata, antara faktor utama adalah sikap pemain itu sendiri yang enggan mengambil peluang terhidang untuk mengembang­kan potensi terutama untuk beraksi di luar negara.

Katanya, sikap cepat berpuas hati dengan apa yang mereka dapat termasuk gaji lumayan dalam Liga Malaysia (Liga M) juga menyumbang kepada bakat pemain itu tidak berkembang dan hanya terhenti pada standard tempatan.

“Jika dalam bola sepak, pemain kita hanya tengok ikon dalam negara saja, contohnya Safee Sali dan Syafiq Rahim.

“Mereka tidak letakkan diri untuk jadi Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, jadi usaha dan latihan mereka tak ke arah itu (menjadi pemain terbaik dunia).

“Malah, pemain kita juga seperti katak bawah tempurung kaca kerana mereka sebenarnya nampak peluang yang ada, tapi tak berani untuk berhijrah ke luar negara.

“Ada juga pemain yang berhijrah ke luar, namun tidak tahan lama pula sebab mereka gagal menyesuaik­an diri dengan keadaan sekeliling tempat mereka pergi.

“Jadi nilai ini juga penting diterapkan supaya pemain tempatan lebih berani untuk beraksi di luar,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain itu, Mohd Sadek berkata barisan kejurulati­han juga perlu diberi pendedahan pada tahap lebih tinggi termasuk dihantar ke negara kuasa besar bola sepak terutama yang pernah menjuarai Piala Dunia untuk menambah ilmu.

Katanya, perkara ini penting kerana jurulatih yang akan membentuk acuan terhadap masa depan bola sepak negara dan perkembang­an mereka perlu seiring dengan perkembang­an pemain.

“Selain itu, ranking skuad kebangsaan juga perlu berada pada tahap terbaik kerana jika ranking berada di bawah, produk (pemain) kita tidak akan mendapat perhatian kelab luar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia