Berita Harian

‘Buat persediaan cuaca tak menentu’

Orang ramai dinasihat beli bekalan makanan lebih awal

- Oleh Norasikin Daineh norasikin_daineh@nstp.com.my

Kota Kinabalu: Orang ramai, terutama yang akan menyambut Aidiladha, dinasihatk­an membeli bekalan makanan lebih awal bagi mengelakka­n masalah kekurangan bekalan atau kenaikan harga berikutan keadaan cuaca sedang tidak menentu di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong, berkata keadaan laut bergelora dan angin kencang yang dijangka berlarutan hingga hujung minggu ini, mungkin menyukarka­n nelayan meraih hasil laut.

Justeru, beliau berkata, pengguna diminta bersedia dengan kemungkina­n berlaku kekurangan bekalan ikan atau kenaikan harga disebabkan keadaan itu.

“Pengguna harus membuat persediaan dan membeli lebih awal, terutama sempena sambutan Aidiladha ini.

“Saya bukan mahu membuat pengguna panik tetapi sekadar mengingatk­an supaya bersedia. Peringatan ini lebih penting, terutama apabila tiba hari raya tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Junz turut menasihati nelayan supaya tidak turun ke laut berikutan keadaan cuaca kurang baik sejak beberapa hari ini.

“Walaupun nelayan sudah biasa dengan keadaan di laut, mereka masih terdedah kepada bahaya pada musim tengkujuh ini.

“Jika boleh, nelayan elakkan turun ke laut buat sementara waktu kerana kita tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini. Cuaca tidak menentu dijangka berlarutan hingga hujung minggu ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, nelayan dan orang ramai diminta sentiasa peka dengan arahan dan amaran dikeluarka­n Jabatan Meteorolog­i Malaysia supaya menjauhi aktiviti di kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia