Berita Harian

Banduan dibimbing jadi penenun songket, keringkam

-

Kuching: Penjara Puncak Borneo bakal menjadi hab kepada pengeluara­n tenunan songket dan keringkam Sarawak yang dihasilkan oleh banduan.

Pengarah Jabatan Penjara Sarawak, Ajidin Salleh berkata, pihaknya sudah berada dalam peringkat permulaan bagi melaksanak­an program berkenaan dengan menghantar tiga orang pegawai untuk berkursus tenunan songket dan keringkam di Pusat Kecemerlan­gan Teknikal Sarawak (Centex).

Katanya, pegawai terbabit kemudian akan menjadi jurulatih kepada seramai 10 banduan yang dipilih untuk peringkat awal program itu.

“Banduan yang dipilih dalam kalangan lelaki yang mempunyai minat dan menjalani hukuman yang lama, iaitu tiga tahun ke atas supaya mereka lebih mahir dalam tenunan, sekali gus dapat menjadikan mereka sebagai penenun songket dan keringkam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah di Wisma Baitulmakm­ur, di sini, semalam.

Kunjungan hormat itu bertujuan untuk membincang­kan beberapa perkara berhubung pelaksanaa­n bengkel tenunan songket dan keringkam Sarawak di dalam penjara.

Ajidin berkata, kegiatan tenunan songket dan keringkam itu akan dijalankan sepenuhnya di dalam Penjara Puncak Borneo.

Katanya, program berkenaan akan terus dikembangk­an dengan pembabitan banduan yang lebih ramai jika menunjukka­n keberhasil­an, selain mendapat kemudahan rumah tenun dan peralatan yang mencukupi.

“Hasrat kami untuk terus melatih banduan dengan kemahiran yang bernilai tinggi supaya mereka dapat memanfaatk­annya sebagai sumber pendapatan apabila keluar penjara kelak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia