Berita Harian

Jokowi akhiri lawatan ke Malaysia

Presiden Indonesia, isteri ke Singapura hadiri Perarakan Hari Kebangsaan Singapura 2019

-

Sepang: Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia petang semalam, selepas memenuhi jadual padat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi dan isterinya, Iriana Joko Widodo, berlepas dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk ke Singapura pada jam 3.20 petang.

Yang turut hadir di lapangan terbang bagi mengucapka­n selamat jalan kepada Presiden dan anggota rombongann­ya ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, selaku Menteri Pengiring dan isteri, Normah Alwi. Turut hadir Duta Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana.

Jokowi berlepas ke Singapura, untuk menghadiri Perarakan Hari Kebangsaan Singapura 2019 atas jemputan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali, turut dijemput dan menghadiri upacara sama, yang menjadi acara bersejarah republik itu sempena memperinga­ti ulang tahun ke-200 kedatangan Stamford Raffles ke Singapura.

Perarakan Hari Kebangsaan Dua Abad 2019 itu menjadi acara bersejarah sempena ulang tahun ke-200 ketibaan Stamford Raffles di Singapura.

Terdahulu pagi semalam, Jokowi diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana. Ketibaan beliau dan isteri pada jam 10.28 pagi disambut Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, beliau memeriksa barisan penghormat­an terdiri daripada 106 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejer Mohd Shaiful Amir Omar.

Jokowi kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir di Bangunan Perdana Putra, manakala Iriana diraikan Dr Siti Hasmah pada majlis sarapan pagi di Kompleks Seri Perdana.

Wisma Putra dalam kenyataann­ya, berkata kunjungan Jokowi adalah lawatan pertama beliau ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia pada 17 April lalu.

Indonesia adalah negara jiran paling dekat dan terpenting kepada Malaysia dan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdaganga­n dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (AS$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (AS$16.62 billion) pada 2017.

Selepas pertemuan di Bangunan Perdana Putra, kedua-dua pemimpin negara itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra yang terletak bersebelah­an. Selesai solat, kedua-dua mereka meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah yang berbaris panjang.

Dr Mahathir turut memandu Proton Persona membawa Jokowi sambil diekori kenderaan delegasi Indonesia ke majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau di Seri Perdana. BERNAMA

 ?? [Foto BERNAMA] ?? Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada pertemuan dengan Hsien Loong dan isteri, Lee pada sempena Perarakan Hari Kebangsaan Singapura 2019 di Singapura, semalam. Yang turut serta ialah Jokowi dan Isteri, Iriana serta Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
[Foto BERNAMA] Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada pertemuan dengan Hsien Loong dan isteri, Lee pada sempena Perarakan Hari Kebangsaan Singapura 2019 di Singapura, semalam. Yang turut serta ialah Jokowi dan Isteri, Iriana serta Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
 ?? [Foto BERNAMA] ?? Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menyambut ketibaan Jokowi dan Iriana di Dataran Perdana, Putrajaya sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia, semalam.
[Foto BERNAMA] Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menyambut ketibaan Jokowi dan Iriana di Dataran Perdana, Putrajaya sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia