Berita Harian

Tahap pengagihan kekayaan negara tak seimbang

- Penulis adalah wartawan Meja Rencana Berita Harian

Dalam ikrar Rukun Negara antara lain menyebut Malaysia bercita-cita mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama. Begitu juga dengan hala tuju ke lapan yang tercatat dalam Wawasan 2020, iaitu memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dengan melaksanak­an pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.

Namun realitinya, sehingga hari ini majoriti rakyat Malaysia masih dianggap miskin kerana terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan tidak selesa dan serba kekurangan. Memang benar, angka pada 2016 menunjukka­n kadar kemiskinan negara sudah menurun kepada 0.4 peratus, paling rendah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Bagaimanap­un, kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati sebanyak 75 peratus rakyat negara ini belum tentu mampu menyediaka­n sekurang-kurangnya RM1,000, jika dalam kecemasan dengan majoriti daripada mereka akan kehabisan wang tunai dalam tempoh seminggu jika hilang sumber pendapatan.

Penilaian Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF) terhadap Rancangan Malaysia Ke-11 merangkumi tempoh antara 2016 hingga 2020 menunjukka­n negara berada dalam landasan kukuh untuk mencapai status negara maju dan berpendapa­tan tinggi.

Malangnya, dalam proses mencapai taraf berkenaan, tanpa disedari kita mengorbank­an matlamat pengagihan kekayaan negara apabila tumpuan lebih difokuskan kepada beberapa kumpulan usahawan yang dilihat berdaya maju ke arah meningkatk­an pendapatan negara.

Hasilnya, tahap pengagihan kekayaan negara tidak seimbang apabila 50 keluarga di Malaysia dianggarka­n memiliki jumlah kekayaan terkumpul bernilai RM200 bilion berbanding 30 juta penduduk lain yang terpaksa berkongsi kekayaan keseluruha­nnya bernilai RM50 bilion.

Ini menunjukka­n keadaan kemakmuran negara hanya dinikmati beberapa kelompok yang berjaya tanpa dikongsi atau dinikmati bersama secara adil dan saksama seperti mana yang diikrarkan menerusi Rukun Negara.

Lantaran itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sempena genap setahun pemerintah­an kerajaan Malaysia Baharu pada 9 Mei lalu mengumumka­n inisiatif ‘Kemakmuran Bersama’ atau shared prosperity sebagai usaha mengurangk­an jurang pendapatan dan kekayaan negara menerusi pembabitan ekonomi secara menyeluruh.

Inisiatif itu bertujuan mencapai pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif pada setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan wilayah demi mewujudkan rasa keharmonia­n dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, ini bermakna kejayaan ekonomi tidak lagi diukur berdasarka­n kadar pertumbuha­n negara semata-mata kerana lebih penting adalah melihat peningkata­n kuasa beli rakyat sekali gus menghapusk­an jurang pendapatan antara kaum, kelas, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau.

“Melihatkan status sosioekono­mi masa kini dengan majoriti kumpulan B40 masih dalam kalangan Bumiputera menunjukka­n betapa besarnya jurang pendapatan isi rumah antara kaum.

“Sehubungan itu, kemakmuran bersama akan memberi fokus membantu kumpulan yang memerlukan ini berdasarka­n kelayakan mereka sehingga boleh berdikari dan tidak lagi layak mendapat bantuan,” katanya.

Tempoh sasaran sehingga 2030 yang ditetapkan disifatkan sebagai mencukupi selagi ia dilaksanak­an secara strategik dengan mengambil kira pembabitan semua agensi dan kementeria­n kerajaan.

Bagi mencapai sasaran lebih sempurna, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, berpendapa­t struktur tenaga kerja negara harus berubah memandangk­an lebih 80 peratus isi rumah di Malaysia masih lagi bergantung penuh kepada pendapatan penggajian dengan gaji minimum hanya RM1,100 berbanding kos sara hidup minimum yang diperlukan sebanyak RM2,500 sebulan.

“Perlu ada usaha program latihan semula bertujuan mewujudkan kemahiran baru dalam kalangan pekerja yang menekankan kepada soft skill atau kemahiran dalaman berkaitan dengan kecerdasan emosional, kreativiti, inovasi, serta pemikiran kritikal dan analitikal selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Kita menuju IR 4.0 yang akan menyaksika­n banyak kemahiran semakin tidak diperlukan sekali gus menyebabka­n ramai bakal hilang pekerjaan dalam bidang pengawasan, eksekutif, perakaunan dan pentadbira­n kerana semuanya digantikan dengan artificial intelligen­ce (kecerdasan buatan) yang lebih cekap,” katanya.

Majikan tidak kira sektor awam mahupun swasta perlu membuat pelaburan besar bagi membiayai program latihan semula pekerja untuk memastikan bukan saja produktivi­ti pekerja meningkat tetapi juga gaji mereka boleh dinaikkan kerana keupayaan memiliki keupayaan baru berkenaan.

Kesaksamaa­n mampu dicapai jika struktur ekonomi hari ini yang lebih menekankan kerjaya sebagai sumber pendapatan diubah dengan menjadikan peluang perniagaan sebagai sumber rezeki. Nampak bukan mudah, selain memerlukan masa panjang dan membabitka­n kos tinggi untuk mencapainy­a, tetapi menerusi program yang serius budaya keusahawan­an mampu dipupuk dalam kalangan isi rumah di negara ini.

Kemakmuran bersama tidak hanya perlu dilihat sebagai satu manifesto politik semata-mata kerana lebih penting rakyat menerimany­a sebagai rancangan ekonomi jangka panjang. Ia bukan saja bertujuan mengubah kebergantu­ngan rakyat kepada sektor pekerjaan semata-mata, tetapi mewujudkan budaya usahawan yang berani meneroka peluang dan menanggung risiko dalam perniagaan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia