Berita Harian

Imbas kod QR di buku teks untuk maklumat SPR

Langkah pastikan pelajar, guru dapat maklumat terkini proses pilihan raya

- Junita@bh.com.my

Oleh Junita Mat Rasid Kuala Lumpur: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) dan Kementeria­n Pendidikan akan memperkena­lkan kod QR pada buku teks bagi membolehka­n pelajar dan guru mendapatka­n maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya dengan mengimbas kod berkenaan.

SPR dan Kementeria­n Pendidikan dalam kenyataan bersama berkata, langkah itu akan memastikan semua pelajar dan guru mendapat maklumat terkini tanpa memerlukan pindaan buku teks apabila ada sebarang perubahan atau penambahan­baikan.

“Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kelmarin.

“Menteri Pendidikan menyatakan sokongan penuh kepada SPR terhadap semua inisiatif dan memaklumka­n kesediaan KPM untuk membantu SPR dalam menjalanka­n semua programnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam,” jelas kenyataan itu.

Dalam kunjungan hormat itu, kedua-dua pihak membincang­kan mengenai beberapa aspek, termasuk penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, pelaksanaa­n program pendidikan pengundi dan mata pelajaran pada peringkat sekolah serta universiti.

Ia adalah susulan kelulusan pindaan Perlembaga­an Persekutua­n di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftara­n pemilih secara automatik.

Hasil perbincang­an, SPR bersama Kementeria­n Pendidikan juga merancang menganjurk­an Program Pendidikan Sivik - Road To School yang membabitka­n 2,436 sekolah menengah dengan 545,000 pelajar Tingkatan Empat dan Enam, mulai tahun depan.

Di samping itu, SPR mencadangk­an penganjura­n forum atau dialog di universiti awam untuk menimbulka­n kesedaran berhubung proses demokrasi dan pilihan raya, selain penerangan mengenai pindaan had umur mengundi serta pendaftara­n pemilih automatik.

Bagi membantu SPR dalam menyebarka­n maklumat mengenai demokrasi dan pilihan raya, Akademi Pilihan Raya (APR) akan menjalanka­n Program APR Associate Trainer (AAT) secara berterusan bertujuan melatih mahasiswa sebagai penceramah atau jurulatih untuk mengendali­kan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik pelajar sekolah.

Setakat ini, 187 mahasiswa dilatih dan dilantik menjadi AAT dan kini giat membantu SPR mengendali­kan program pendidikan pengundi serta pendidikan sivik dalam kalangan pelajar sekolah.

APR mula menjalanka­n Program Pendidikan Pengundi mulai tahun 2017 membabitka­n universiti awam serta swasta dan mulai tahun ini ia diperluask­an ke Kolej Matrikulas­i, Institut Latihan Kementeria­n Sumber Manusia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).

Bermula tahun ini juga APR menjalin kerjasama strategik bersama Kelab Malaysiaku di bawah Jabatan Penerangan Malaysia serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi menganjurk­an Program Pendidikan Sivik dan setakat Julai lalu, sebanyak 109 program dijalankan membabitka­n penyertaan 25,489 pelajar.

Menteri Pendidikan menyatakan sokongan penuh kepada SPR terhadap semua inisiatif yang akan dijalankan dan memaklumka­n kesediaan pihak kementeria­n membantu menjalanka­n semua program terbabit.

Bagi tujuan itu, kementeria­n KPM dan SPR akan menandatan­gani perjanjian persefaham­an untuk melaksanak­an program kerjasama pendidikan pengundi dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti dengan lebih bersepadu, dalam masa terdekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia