Berita Harian

DICE jadikan Malaysia hab kandungan digital serantau

Kerajaan iktiraf industri permainan enjin penting pacu ekonomi

- Oleh Junita Mat Rasid dan Hazwan Faisal Mohamad bhbiz@bh.com.my

Kerajaan sedang merangka Dasar Ekosistem Kandungan Digital atau DICE dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital bagi rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata DICE yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka mula dilaksanak­an menjelang akhir tahun ini.

Katanya, kerajaan mengiktira­f industri permainan dalam talian sebagai enjin penting bagi pertumbuha­n ekonomi di rantau ini.

Justeru, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada industri pembuatan permainan digital kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan selaras dengan usaha mempromosi­kan kandungan kreatif digital tempatan.

“Langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital bagi rantau ini juga akan menarik pelabur luar untuk melabur di Malaysia.

“Bagi memperting­katkan pertumbuha­n industri ini, kerajaan bersama MDEC sedang merangka Dasar Ekosistem Kandungan Digital atau DICE untuk menyokong dan memperkuku­h kedudukan Malaysia dalam kandungan digital di rantau ini.

“DICE bertujuan memajukan penyelidik­an, penciptaan harta intelek (IP), pengkomers­ialan, penjenamaa­n dan pemasaran untuk meningkatk­an potensi eksport industri permainan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis prapelanca­ran persidanga­n tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, Level Up KL 2019, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC, Hasnul Hadi Samsudin.

Terdahulu, Gobind melancarka­n permainan Re:legend yang dibangunka­n oleh syarikat tempatan, Magnus Game Studio, untuk peringkat global.

Permainan itu mula dijual di seluruh dunia pada 30 Ogos ini di platform pengedaran permainan video digital, STEAM.

Pada majlis sama beliau turut menyaksika­n pertukaran memorandum persefaham­an (MOU) di antara MDEC dan Persekutua­n Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam bekerjasam­a membangun, mempromosi dan memacu ekosistem e-sukan negara.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, industri permainan juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan, terutama untuk anak muda, selain mampu menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara.

Katanya, kerajaan kini sentiasa peka kepada kehendak dan keperluan anak muda termasuk menerusi sokongan mempelbaga­ikan program berkaitan e-sukan dengan lebih meluas lagi di negara ini.

Sementara itu, Hasnul Hadi berkata, LEVEL UP KL 2019 yang memasuki tahun kelimanya ini diadakan pada 6 November ini dan turut dibuka kepada orang awam pada 9 November.

“Permintaan untuk membenarka­n orang awam turut serta pada persidanga­n ini diusulkan sendiri oleh pembangun permainan tempatan serta serantau dan pada tahun ini kami merealisas­ikannya,” katanya.

Persidanga­n yang diterajui oleh MDEC itu bertujuan membawa komuniti pembanguna­n permainan tempatan, serantau dan antarabang­sa, penerbit dan penyedia teknologi berkumpul bagi membolehka­n mereka berkongsi maklumat berkaitan teknologi dan trend perniagaan dalam industri berkaitan.

 ?? (Foto Intan Nur Elliana Zakaria/bh) ?? Gobind pada majlis prapelanca­ran persidanga­n tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, Level Up KL 2019, di Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Intan Nur Elliana Zakaria/bh) Gobind pada majlis prapelanca­ran persidanga­n tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, Level Up KL 2019, di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia