Ekonomi Jepun berkembang luar jangkaan
Tokyo: Ekonomi Jepun berkembang lebih pantas berbanding jangkaan pada suku kedua, demikian menurut data rasminya semalam.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ekonomi terbesar ketiga dunia itu meningkat 0.4 peratus berbanding suku sebelumnya, kata Pejabat Kabinet, sekali gus mengatasi unjuran penganalisis sebanyak 0.1 peratus.
Tempoh pemulihan ketiga berturut-turut itu juga meningkatkan keazaman Perdana Menteri, Shinzo Abe untuk meneruskan kenaikan cukai jualan yang penuh dengan kontroversi pada Oktober ini, walaupun ia boleh memberi tekanan kepada pertumbuhan.
Pengguna tergesa-gesa untuk membuat pembelian sebelum kadar cukai naik daripada lapan peratus kepada 10 peratus bermula 1 Oktober ini dan rangsangan penggunaan ini juga akan membantu melonjakkan KDNK lebih tinggi, kata ahli ekonomi.
Cuti umum selama 10 hari, yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi meraikan Maharaja Naruhito, sekali gus menandakan bermulanya era imperialis baharu di Jepun, turut membantu meningkatkan angka, kata penganalisis.
“Bagaimanapun, perkembangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi tekanan kepada eksport dan perbelanjaan korporat di beberapa sektor seperti jentera berat.”
“Bagaimanapun, pelaburan dalam perisian, penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan adalah baik,” kata ahli ekonomi kanan di Mizuho Securities, Yuichiro Nagai.
Nagai berkata, situasi pengguna berpusu-pusu untuk membeli sebelum kenaikan cukai jualan berkemungkinan menjadi lebih ketara pada Julai hingga September, sekali gus membantu Jepun mencatatkan pertumbuhan pada suku berikutnya.
Ekonomi dijangka mendatar pada Oktober hingga Disember disebabkan cukai lebih tinggi, ia seharusnya melantun semula tahun depan dan mampu mengelakkan berlakunya kemelesetan, katanya.
“Terdapat ketidakpastian mengenai arah perang perdagangan, dengan pilihan raya Presiden, bagaimanapun, saya percaya senario utama ialah mereka akan mencari rancangan untuk berkompromi pada akhir tahun ini,” katanya.
AFP