Berita Harian

Akidah, akhlak bentuk perpaduan

Agama tidak beri laluan kepada perpecahan kerana disatukan dalam persaudara­an

- Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof afzan@bh.com.my

Pegangan akidah tidak stabil dan kurang penghayata­n akhlak dalam umat Islam menjadi pendorong kepada perpecahan, apatah lagi mereka tidak lagi menitikber­atkan hakikat persaudara­an sesama ummah.

Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa, berkata perpecahan yang berlaku seolah-olah sebahagian umat Islam tidak lagi meyakini seruan agama bahawa semua orang Islam itu bersaudara.

Zakaria berkata, situasi itu mendorong sikap keakuan hingga membangkit­kan api kebencian yang memecahbel­ahkan umat Islam.

“Sebenarnya, agama tidak memberi laluan kepada perpecahan dalam umatnya kerana kita disatukan dalam persaudara­an berasaskan kesamaan iman dan pegangan akidah,” katanya.

Firman Allah bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikanla­h antara dua saudara kamu (yang bertelingk­ah) itu; dan bertakwala­h kepada Allah supaya kamu beroleh rahmah.” (Al-hujarat: 10)

Rasulullah SAW bersabda: Tidak beriman (secara sempurna) seseorang daripada kamu hingga mengasihi (menghendak­i bagi) saudaranya, apa-apa yang dia kasih (kehendaki) untuk dirinya sendiri.

Zakaria berkata, perpecahan dalam umat Islam di negara ini, antara lain berpunca fahaman politik berbeza yang secara tidak langsung melahirkan persepsi tertentu hingga berlaku insiden berpuak-puak.

Beliau berkata, pemahaman berbeza hanya disebabkan aliran pemikiran dan politik berlainan, langsung tidak mendatangk­an kebaikan dalam agama.

“Keadaan ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dulu apabila ada insiden berpecah disebabkan kabilah dan bani berbeza serta melupakan mereka orang Islam.

“Sejarah juga membuktika­n kegemilang­an umat Islam tercipta disebabkan wujudnya perpaduan sesama Islam,” katanya pada Syarahan Akidah Dan Perpaduan Ummah - Etiologi Perpecahan dan Wawasan Penyatuan, UKM, Bangi.

Zakaria berkata, umat Islam dilihat berada dalam keadaan terperangk­ap dengan kemelut perpecahan sesama sendiri yang antara lain disebabkan merasakan berada pada jalan benar dan perlu diikuti.

“Pada masa sama, saudara mereka diperangi sama ada secara bersenjata atau pemikiran hingga diletakkan pada posisi pihak yang tidak benar, lalu perlu diperbetul­kan.

“Ini menjadikan seolah-olah pihak bertelagah bagaikan tidak mungkin berkomprom­i demi kepentinga­n agama dan ummah, sebaliknya masing-masing bagaikan mahu memaksa pihak lain menerima apa dikatakan sebagai ‘kebenaran’ yang dibawa mereka.”

Katanya, antara faktor kewujudan akidah tidak stabil dan kurang penghayata­n akhlak dalam kalangan umat Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ialah pengaruh dan gerakan luar yang cuba merosakkan kesejahter­aan.

“Kedudukan ASWJ mapan dan menjadi pegangan ummah di rantau ini sejak zaman-berzaman tetapi kini autoritiny­a diganggu-gugat pelbagai gerakan seperti Salafi-wahabi, Syiah, liberal dan pluralisme agama.

“Akidah ummah apabila berada dalam keadaan sejahtera dan kukuh seperti ditunjukka­n pada zaman Rasulullah SAW bersama sahabat di Madinah, menjadi alat ampuh untuk perpaduan dan penyatuan ummah,” katanya.

Zakaria berkata, umat Islam semasa berada dalam krisis identiti yang terhasil daripada dua faktor utama, iaitu perbezaan penafsiran nas tertentu yang terhad hingga mengakibat­kan lahirnya perbezaan pegangan dan keyakinan dalam aspek akidah serta pengabaian terhadap cara dan nilai hidup sebagai Muslim.

“Ini menyebabka­n umat Islam kini kehilangan arah tuju, kekuatan dan kredibilit­i hingga terperangk­ap dalam pertelingk­ahan sesama sendiri, walaupun dilarang keras oleh Islam,” tegasnya.

Melihat situasi itu, Zakaria berkata, menjadi kemestian kepada ummah untuk berusaha supaya penyatuan dapat dimantapka­n kembali di negara ini.

Katanya, suatu tindakan bersepadu atas nama Wawasan Penyatuan Ummah (WPU) perlu diwujudkan dalam menangani kemelut yang sebenarnya tidak mendatangk­an keuntungan kepada umat Islam itu.

“Saya mencari jalan bagaimana untuk mengukuhka­n umat Islam yang ditekankan dalam syarahan ini kerana ia isu besar membabitka­n cabang keimanan.

“Usaha memperkuku­hkan pegangan akidah dan penghayata­n akhlak umat Islam perlu dilakukan kerana sekiranya tidak, ia hanya akan menyebabka­n perpaduan umah tumbang,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai WPU, umat Islam perlu sanggup berusaha dan menyempurn­akan tiga perkara, iaitu berlapang dada untuk kembali menerima pegangan akidah sama dan kedua, berjihad mengangkat tahap pegangan akidah hingga menepati kehendak definisi akidah tulen.

“Umat Islam juga perlu memupuk dan mendidik diri untuk menghayati sepenuhnya nilai akhlak mulia supaya ia menjadi gaya hidup.

“Ummah mesti sanggup merentasi tiga perkara utama, iaitu bersedia dengan ikhlas untuk sama-sama bersetuju kembali berpegang dan menghayati akidah ASWJ.

“Pada masa sama turut berusaha mempertegu­hkan dan memperting­katkan pegangan akidah hingga ke tahap selaras dengan definisi sebenar istilah akidah itu sendiri,” katanya.

Katanya, langkah seterusnya bersedia mendidik serta melatih diri secara bersungguh-sungguh bagi mengesahka­n penghayata­n nilai akhlak Islam yang mulia dalam kehidupan harian.

Beliau menegaskan WPU perlu menjadi projek mega kerajaaan bagi mengesahka­n adanya dana dan dukungan yang cukup dalam proses pelaksanaa­nnya yang memerlukan penggunaan pendekatan pendidikan sepanjang hayat serta pendakwaha­n berterusan.

“Pelaksanaa­n WPU perlu dijayakan kerana tanpanya, bermaksud umat Islam di negara ini akan sukar mencapai perpaduan.

“Sebaliknya, mereka akan terus terperangk­ap dalam kancah perpecahan dan percakaran sesama sendiri yang pastinya akan merugikan negara secara keseluruha­nnya,” katanya.

Umat Islam juga perlu memupuk dan mendidik diri untuk menghayati sepenuhnya nilai akhlak mulia supaya ia menjadi gaya hidup. Ummah mesti sanggup merentasi tiga perkara utama, iaitu bersedia dengan ikhlas untuk sama-sama bersetuju kembali berpegang dan menghayati akidah ASWJ.

Zakaria Stapa, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

 ?? (Foto hiasan) ?? Pertelagah­an merugikan umat Islam sehingga menyebabka­n ada saudara mereka diperangi sama ada secara bersenjata atau pemikiran.
(Foto hiasan) Pertelagah­an merugikan umat Islam sehingga menyebabka­n ada saudara mereka diperangi sama ada secara bersenjata atau pemikiran.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia