Berita Harian

Hajat tak kesampaian lagi

Skuad wanita negara terus gagal atasi Mesir buat kali kedua

- Sukhairi@nstp.com.my

Oleh Sukhairi Thani Kuala Lumpur: Skuad skuasy remaja negara sekali lagi kecundang dalam final Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia dan kali ini tewas 0-2 di tangan juara bertahan, Mesir yang merekodkan kejuaraan ketujuh berturut-turut sejak 2007 di sini, semalam.

Dalam aksi di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu, Aifa Azman memulakan saingan pasukan negara dengan langkah positif, apabila memenangi set pertama dengan 11-6 ke atas lawannya Hania El Hammamy sebelum seterunya mengubah corak permainan.

Aifa kemudian tewas 11-6, 11-9, 11-3 pada set seterusnya. Ini adalah kali keempat skuad negara tewas di final.

“Saya sudah bermain sebaik mungkin. Pada set pertama, saya menang mudah tetapi selepas itu dia menukar corak permainan dan saya cuba meneruskan corak permainan laju tetapi permainann­ya lebih baik hari ini (semalam),” katanya yang bermain dalam situasi sakit di bahagian kaki kanan.

Perjuangan Aifa cuba dibalas rakan sepasukan, Noor Ainaa Amani Ampandi pada perlawanan kedua, namun kekuatan dan pengalaman Farida Mohamed jelas menguasai gelanggang dan wakil negara tewas 11-9, 8-11, 4-11, 11-9, 11-4.

“Ainaa juga bermain dengan baik dan mahukan kemenangan, namun malangnya tidak berhasil.

“Saya dan Ainaa sudah melakukan yang terbaik dan secara keseluruha­n, satu keputusan yang masih baik buat kami. Kami akan kembali lagi pada dua tahun akan datang dan cuba mendapatka­n gelaran itu semula,” kata Aifa.

Sementara itu, Noor Ainaa yang kali pertama memasuki kejohanan remaja dunia dan final sulungnya di sini berkata: “Aifa bermain dengan baik. Saya memasuki gelanggang dengan inginkan kemenangan. Pada set pertama nampak kekok kerana saya gementar.

“Bagaimanap­un, saya bangkit pada set kedua dan ketiga. Keseluruha­nnya, saya sudah bermain dengan baik dan gembira dengan prestasi ini.”

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Hong Kong dan England.

 ?? (Foto Aziah Azmee/bh) ?? Skuad skuasy remaja muncul naib juara selepas tewas kepada Mesir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.
(Foto Aziah Azmee/bh) Skuad skuasy remaja muncul naib juara selepas tewas kepada Mesir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia