Berita Harian

Tindakan tegas jika dakwaan berasas

-

Okayama: Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) tampak langsung tidak berkomprom­i apabila turut mengenakan tindakan tegas ke atas mana mana pasukan yang berdepan dengan tunggakan gaji, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, pendekatan yang digunakan itu menyaksika­n isu tunggakan gaji yang sering menghimpit Liga Malaysia (Liga M) sama sekali tidak berlaku di negara berkenaan

“Isu tunggakan gaji ini sudah berkali kali kita dengar. Jadi saya ada bertanya pihak pengurusan pasukan di sini mengenai masalah tunggakan gaji dan kalau berlaku, mereka terus menyingkir­kan pasukan itu.

“Mereka mengenakan tindakan agak keras kepada pasukan yang berdepan masalah sedemikian. Saya lihat MFL (Liga Bolasepak Malaysia) cuba melakukan perkara sama seperti yang dikenakan ke atas Perlis kerana isu kewangan.

“Tetapi bagi isu tunggakan gaji sebanyak RM6.4 juta, perkara ini memerlukan siasatan penuh dan tidak boleh tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh. Kalau berasas, tindakan perlu dilakukan.

“Saya lihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengeluark­an kenyataan dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesiona­l Malaysia (PFAM) sudah membidas. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya mengharapk­an ia dapat diselesaik­an dengan damai secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) ke kelab Fagiano Okayama di Okayama, semalam.

Sebagai rekod, BH Sukan sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail mendedahka­n beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji kepada para pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruha­nnya.

Mengulas mengenai kedudukan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Syed Saddiq memberi bayangan betapa belum ada lagi apa apa ketetapan mengenai perkara itu meskipun kontrak bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu akan berakhir, Oktober ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia