Berita Harian

5 sekeluarga antara 6 maut kemalangan tiga kenderaan di Melaka

Dua beradik maut bersama tiga anggota keluarga dalam nahas ragut enam nyawa

- Oleh Fairuz Zaidan fairuzaida­n@nstp.com.my

Melaka: Ibu dua remaja perempuan yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-melaka Tengah-jasin (AMJ) dekat Jelatang, kelmarin berasa hairan apabila anak berkali-kali bersalam dengannya ketika mereka bertemu sehari sebelum kejadian di rumah ibunya di Yong Peng, Johor.

Rosziati Muktar, 36, berkata dia pelik apabila anaknya Alissa Azahar, 15 dan kakaknya Alia, 17, berkali-kali bersalam dengannya ketika bertemu di rumah ibunya pada Khamis malam.

Alia dan Alissa tinggal dengan nenek mereka di Taman Kota Panorama, Yong Peng.

“Saya kata, berapa kali nak salam dan Alissa kata dia lupa,” katanya ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Melaka, di sini, semalam.

Alia dan adiknya, Alissa adalah antara lima sekeluarga yang maut dalam nahas membabitka­n tiga kenderaan di Lebuh AMJ dekat Jelatang, di sini, kelmarin.

Selain dua beradik itu, turut terkorban dalam nahas jam 9.30 malam itu ialah bapa mereka, Azahar Ahmad, 57, isterinya, Halimahtun Aris Padzil, 24, dan kakak Azahar, Habibah, 62.

Semua mereka dikatakan dalam perjalanan dari Yong Peng, Johor ke Brisu, Alor Gajah untuk menyambut Aidiladha.

Yang turut maut ialah pemandu pikap Mitsubishi Triton, Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuann­ya yang berusia 20 tahun parah.

Kemalangan itu turut membabitka­n sebuah treler tanpa muatan, namun pemandunya tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superinten­dan A Asmadi Abdul Aziz, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentang­an lalu merempuh Isuzu D-max dinaiki lima beranak. Treler yang dipandu lelaki berusia 46 tahun turut dirempuh Mitsubishi Triton sebelum terbabas ke kiri bahu jalan.

Sementara itu, Rosziati berkata, dia tiada di rumah kerana bekerja ketika bekas suaminya datang mengambil dua anaknya itu untuk pulang ke kampungnya di Brisu, Alor Gajah, bagi menyambut Aidiladha.

“Kali terakhir saya berhubung dengan anak pada jam 6 petang, mereka menghantar gambar melalui Whatsapp memberitah­u berhenti makan.

“Bagaimanap­un, kira-kira jam 10 malam ketika pulang kerja, saya terkejut menerima panggilan telefon daripada polis memaklumka­n anak saya sudah tiada,” katanya teresak-esak.

Nenek dua remaja itu, Zaleha Nikmat, 62, pula berkata, dia pelik apabila Alia dan Alissa cukup berselera dan beriya-iya menikmati hidangan asam pedas ikan tongkol yang disediakan­nya sehingga menjilat jari.

“Tak pernah Alissa jilat jari lepas makan semalam (Khamis), dia jilat jari bila saya masak asam pedas ikan tongkol. Sedaplah mak masak,” kata Zaleha yang membahasak­an dirinya ‘mak’.

Zaleha berkata, sebelum cucunya diambil oleh bapa mereka pada jam 3.30 petang Jumaat di rumahnya, sekali lagi mereka dua beradik menikmati lauk asam pedas yang dipanaskan.

“Tidak sangka itulah detik terakhir saya bersama mereka. Sebelum berangkat, saya nampak mereka sangat ceria sambil melambai ke arah saya.

“Terdetik di hati, sayu hendak melepaskan mereka pergi, saya membesarka­n mereka berdua sejak Alia berusia sembilan tahun dan Alissa, tujuh tahun,” katanya.

Bagi Rashidi Muktar, 31, dia tidak dapat melupakan kenangan bersama dua anak saudaranya itu yang dijaga sejak kecil. Selain Alia dan Alissa, Rashidi dan ibunya turut menjaga seorang lagi adik mereka, Arshad, 14.

“Sejak ibu bapa mereka berpisah lapan tahun lalu, tiga beradik itu tinggal bersama kami di Taman Kota Panorama, Yong Peng,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Alia dan Alissa dikebumika­n di Yong Peng, Johor; Azahar dan kakaknya, Habibah di Brisu, Alor Gajah manakala isteri Azhar, Halimahtun di Tanjung Tualang, Perak.

 ??  ??
 ?? (Foto Khairunisa­h Lokman/bh) ?? Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Melaka.
(Foto Khairunisa­h Lokman/bh) Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Melaka.
 ?? (Foto Ihsan Bomba) ?? Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluark­an mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
(Foto Ihsan Bomba) Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluark­an mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
 ??  ?? Gambar lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Lebuh AMJ, kelmarin.
Gambar lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Lebuh AMJ, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia