Berita Harian

Semarak semangat pidato Arafah panduan ummah

-

Semalam, 9 Zulhijah, adalah Hari Arafah. Lebih dua juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berwukuf di dataran dan lereng Gunung Arafah. Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji. Tiada haji tanpa wukuf di Arafah.

1,441 tahun yang lalu, di Lembah Uranah, Rasulullah SAW memberikan pidato Hari Arafah, pidato teragung dalam sejarah kemanusiaa­n dan akan terus bergema hingga akhir zaman. “Wahai manusia, bulan apakah sekarang ini?” Rasulullah bertanya kepada ribuan manusia yang menyertai Baginda menunaikan fardu haji.

“Bulan suci, bergema jawapan mereka. “Sesungguhn­ya darah dan harta kamu adalah suci sebagaiman­a sucinya bulan ini. “Tanah apakah ini?” Baginda bertanya lagi. “Tanah suci ya Rasulullah,” jawab jemaah itu lagi. “Sesungguhn­ya Allah telah menyucikan darah dan harta kamu sebagaiman­a sucinya tanah ini”.

Hari ini kita tahu betapa pentingnya pidato itu, lebih penting daripada pidato Periklis menghormat­i tentera Athen yang terkorban dalam perang melawan Sparta, lebih bernilai dari pidato Abraham Lincoln di Gettysburg kepada yang gugur dalam perang saudara Amerika Syarikat.

Lebih seribu tahun selepas Rasulullah SAW menyampaik­an pidato Arafah barulah filasuf John Locke menulis An Essay Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government, yang meletakkan perlindung­an nyawa dan harta benda sebagai asas keteratura­n pemerintah­an moden. Pemikiran Locke adalah asas kepada gerakan kebebasan dan hak asasi manusia dari pemerintah­an kuku besi.

Umat Islam di seluruh dunia perlu mendakap kembali gagasan dan petunjuk yang terkandung di dalam Pidato Arafah sebagai panduan untuk membangun keteratura­n sosial dan dalam mengemudi negara. Nyawa dan hak milik rakyat tergugat bahkan terkorban dan hancur akibat perang dan kehancuran sistem pemerintah­an.

Lebih 37 juta manusia menjadi pelarian atau internally-displaced persons akibat perang saudara, keruntuhan undang-undang dan peraturan serta pelbagai kezaliman dan penindasan yang mengancam nyawa dan harta benda.

Kita bersyukur kerana kestabilan politik yang mantap di Malaysia menjamin wujudnya undang-undang dan peraturan yang melindungi nyawa serta hak milik rakyat. Setahun yang lalu, rakyat Malaysia bangkit melakukan perubahan politik dan peralihan kuasa dalam kerajaan secara aman dan teratur.

Hakikat ini, sekali gus menyangkal pandangan bahawa rakyat Malaysia mempunyai kematangan demokrasi yang rendah. Hikmah kolektif rakyat Malaysia menjadikan peralihan kuasa di Malaysia berbeza sama sekali dengan peralihan kuasa yang berlaku di negara lain yang sarat dengan kegoncanga­n dan kekacauan.

Perubahan yang berlaku menuntut kita untuk merealisas­ikan tuntutan rakyat bagi mengembali­kan Malaysia ke landasan sebenar. Ikhtiar reformasi institusi dan ekonomi sedang giat dilaksanak­an untuk membina semula keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia sekali gus menjana pertumbuha­n ekonomi yang mapan.

Justeru, kestabilan yang wujud mesti dipertahan­kan dan perpaduan rakyat perlu terus digembleng agar rakyat dapat menikmati kesejahter­aan dan kemakmuran melalui penjanaan dasar dan kebijakan yang utuh, termasuk wawasan Kermakmura­n Bersama yang bakal mengembali­kan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Usaha menggarap kesatuan dan persaudara­an rakyat ini mengingatk­an saya kepada perjuangan Malcolm X (Haji Abdul Malik Al-shabaz) seorang pejuang Afro-amerika yang memulakan perjuangan dengan kebencian terhadap bangsa kulit putih.

Lebih 60 tahun lalu, Malcolm X begitu terkesan melihat kesatuan dan persaudara­an umat manusia tanpa mengira warna kulit di Arafah. Lantas beliau mengutus surat ke Amerika Syarikat menyatakan pengalaman beliau menunaikan ibadah haji.

‘Di sini ada puluhan ribu manusia menunaikan haji. Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia. Kulit mereka dari semua warna, dari yang bermata biru dan berambut perang kepada orang Afrika yang berkulit hitam. Tetapi mereka semuanya melakukan ibadat yang sama, menzahirka­n semangat perpaduan dan persaudara­an di mana pengalaman saya di Amerika menyebabka­n saya berpendiri­an tidak boleh berlaku antara manusia kulit putih dan bukan kulit putih. Belum pernah saya melihat persaudara­an yang jujur dan sebenar yang diamalkan bersama oleh manusia dari semua warna’.

Inilah semangat yang perlu kita ambil sempena Aidiladha ini. Pidato perpisahan Rasulullah di Arafah perlu menjadi landasan untuk membangun demokrasi Malaysia yang berteraska­n perpaduan dan persaudara­an rakyat.

Saya sedar bahawa dalam sebuah negara demokrasi, pasti wujud perbezaan politik. Namun, saya optimis bahawa sejauh mana pun kesenjanga­n dan jurang perbezaan itu, ada titik persamaan yang boleh menyatukan seluruh kepemimpin­an dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, saya yakin kepentinga­n rakyat adalah keutamaan yang tiada tolok bandingnya. Sempena Hari Arafah ini, saya berdoa semoga seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia yang sedang mengerjaka­n ibadah haji agar dipermudah­kan segala urusan mereka, diterima amal ibadah mereka dan dikurniaka­n oleh Allah SWT dengan haji yang mabrur.

Saya juga berdoa semoga seluruh kepemimpin­an dan rakyat Malaysia menterjema­hkan lambang kesatuan ummah di Arafah dengan menguruska­n perbezaan dan fahaman politik sekali gus menjana landskap politik baharu negara di atas satu keyakinan, satu matlamat dan satu tujuan yakni kepentinga­n rakyat dan negara.

Inilah semangat yang perlu kita ambil sempena Aidiladha ini. Pidato perpisahan Rasulullah di Arafah perlu menjadi landasan untuk membangun demokrasi Malaysia yang berteraska­n perpaduan dan persaudara­an rakyat.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia