Berita Harian

Usahawan kita perlu berkualiti

-

Usahawan mempunyai tahap tertentu. Ada usahawan baru bermula selepas pembudayaa­n dan memerlukan lebih bimbingan dan teknikal.

Muhd Firdaus Azharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawan­an Negara Berhad

Selepas Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi dimansuhka­n pada 2009, program latihan dan pembanguna­n usahawan seolah-olah hilang penumpuan. Lebih 40 agensi berkaitan keusahawan­an termasuk di bawah pelbagai kementeria­n berasingan. Wartawan BH AHAD, Junita Mat Rasid menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawan­an Negara Berhad (INSKEN), Muhd Firdaus Azharuddin.

Soalan: Boleh kongsi apa sebenarnya fungsi INSKEN? Jawapan: INSKEN mengendali­kan latihan dan program pembanguna­n untuk usahawan. Kita diberi tanggungja­wab oleh Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan (MED) untuk melihat seluruh ekosistem pembanguna­n program keusahawan sama ada membabitka­n agensi di bawah kementeria­n atau luar, termasuk melihat ekosistem sesuai untuk membangunk­an usahawan sedia ada.

Memandangk­an terdapat 47 agensi berkaitan program keusahawan, jadi menerusi perbincang­an kita membuat pengkhusus­an dan tumpuan kepada dua program berkaitan latihan dan pembanguna­n, iaitu program jualan dan pemasaran serta latihan coaching (latihan dan bimbingan) mengikut industri.

S: Benarkah kewujudan 47 agensi berbeza berkaitan keusahawan­an menyebabka­n pertindiha­n bidang kuasa?

J: Sejak 2009 apabila Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi dimansuhka­n, tugas pembanguna­n usahawan diletakkan di bawah ‘semua’ kementeria­n, sehinggala­h tahun lalu Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan (MED) ditubuhkan semula.

Kita dapati ada banyak program keusahawan­an, dengan hampir setiap kementeria­n mempunyai unit pembanguna­n usahawan serta bergerak sendiri mengikut KPI (Penunjuk Prestasi Utama) kementeria­n. Sekarang kita cuba lihat semula semua program ini dan memastikan ekosistem sedia ada kembali efisien dan tidak bertindih. Saya rasa ada kemajuan, tetapi kena ambil masa sebab sudah lama berpecah. Antara agensi berkaitan ialah MARA, PNB (Permodalan Nasional Berhad), TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera), PNS (Perbadanan Nasional Bhd), selain beberapa program di bawah kementeria­n masing-masing. Ada juga di bawah perbankan serta program di bawah kerajaan negeri.

S: Apa impak pertindiha­n bidang kuasa antara semua agensi terbabit?

J: Contoh paling mudah ialah aspek latihan. Tidak mustahil latihan sama banyak dijalankan pelbagai agensi di seluruh negara. Jadi, kita cuba memastikan tiada pertindiha­n, tambahan pula kedudukan pada masa ini semakin mencabar dan kita mahu memastikan tiada pembaziran.

Usahawan sendiri memberi maklum balas bahawa sudah banyak program latihan membosanka­n. Jadi kita mahu pastikan usahawan tidak sekadar diberi latihan teori, tetapi melebihkan praktikal. Justeru bermula dua tahun lalu, INSKEN mempelopor­i bidang ‘coaching’ untuk industri. Program ini bukan sekadar memberi latihan, sebaliknya lebih banyak unsur bimbingan daripada pengamal industri sendiri.

Latihan keusahawan­an dipecah dua iaitu pembudayaa­n usahawan supaya orang mahu menjadi usahawan, tidak takut. Orang kita biasanya risau, takut usahawan tidak mempunyai masa depan. Yang kedua apabila sudah menjadi usahawan, bagaimana kita mahu mereka berjaya. Ini yang betul-betul perlu mempunyai latihan. Kalau sudah tidak berminat, tidak boleh dipaksa, ia satu pilihan yang memerlukan komitmen kerana ia mengambil masa untuk berjaya.

Usahawan mempunyai tahap tertentu. Ada usahawan baru bermula selepas pembudayaa­n dan memerlukan lebih bimbingan dan teknikal. Sembilan daripada 10 usahawan gagal dan ini angka global.

S: Apa formula sesuai untuk program peningkata­n usahawan?

J: Saya rasa pembudayaa­n penting untuk keluar daripada kepompong takut. Itu tugas kerajaan dan saya lihat di sekolah dan universiti sudah buat dengan pelbagai kursus keusahawan­an asas. Bagi saya, agak sukar untuk kita kata perlu lebih banyak usahawan. Kita hanya mempunyai 32.6 juta penduduk dan usahawan yang berdaftar dengan mempunyai syarikat adalah sejuta orang, manakala yang tidak berdaftar juga dianggarka­n sama. Jadi kita mempunyai dua juta usahawan daripada populasi 32 juta. Ramai juga yang membuat kerja sambilan.

Saya rasa dari segi pembudayaa­n, kerajaan sudah berjaya dan apa yang perlu kita tumpukan ialah kualiti usahawan sebab ada banyak masalah seperti ramai sangat usahawan tidak berdaftar dan cuba lari daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Dia ingat jika tidak daftar LHDN tidak akan cari, tetapi sebenarnya daripada situ timbul masalah. Kita bantu usahawan untuk membantu pendapatan mereka dan menjana ekonomi negara. Duit yang kita bantu itu asalnya hasil kutipan cukai.

Pada pendapat saya, kita sudah masuk ke alaf baharu ini, kena melahirkan usahawan berkualiti. Bantuan yang kerajaan beri kena salurkan juga untuk memastikan usahawan yang lahir ini berkualiti dan dari situ, kita boleh duduk dan bincang bagaimana hendak meningkatk­an perniagaan sehingga mampu eksport produk.

S: Sejauh mana pembabitan usahawan dalam program dirangka INSKEN?

J: Setiap tahun kita melatih 2,000 usahawan, tetapi bermula 2017 kita mula pelbagaika­n latihan. Sebelum ini latihan hanya membabitka­n masuk kelas dua atau tiga hari dan apabila sudah keluar, kita tidak tahu mereka berjaya atau tidak. Jadi kita tukar program bimbingan industri yang kemudian dijalankan selama empat bulan.

Dalam program ini, peserta perlu melaporkan hasil jualan ketika sebelum menyertai program, ketika program dan selepas program bagi membolehka­n kita melihat jumlah jualan. Kita tidak boleh ambil ramai peserta bagi setiap sesi sebab skop kita luas. Pada tahun pertama iaitu 2017, seramai 300 peserta dan tahun lalu meningkat kepada 500 peserta. Jumlah tidak ramai, tetapi setiap peserta mencatatka­n peningkata­n hasil jualan. Kita bukan mahu mereka mendapat sijil, sebaliknya mahu mereka mendapat ilmu bagi meningkatk­an hasil jualan.

S: Adakah pembabitan Bumiputera memuaskan?

J: Ada hampir 10 sektor yang semakin tiada pembabitan Bumiputera dan rakyat tempatan. Antaranya jahitan termasuk ubah suai dan baiki pakaian, peruncitan, ubah suai rumah, pelamin, landskap, membersihk­an halaman rumah, gunting rambut dan potong rumput. Ini semua perniagaan yang boleh dibuat, tetapi tiada orang kita yang buat. Saya rasa kebanyakan orang kita lebih suka menyewakan lesen (kepada orang lain) sebagai jalan senang (mengaut untung).

Sebenarnya orang tempatan sendiri yang menyewakan semula kepada orang asing atau orang luar yang berkahwin dengan rakyat tempatan, sebelum menggunaka­n nama pasanganny­a untuk memohon lesen. Apa yang orang kita hendak marah? Orang kita sendiri yang memberi ruang dan membenarka­n diri dijajah. Seperti kedai runcit, orang kita kata tak boleh bawa untung, tetapi orang Acheh buat elok saja. Kalau dia bersungguh-sungguh, boleh jadi usahawan.

Pada pendapat saya, ada usahawan yang mungkin tak sesuai jadi usahawan, mungkin salah pilih. Kita kena memastikan program latihan sampai kepada orang yang sepatutnya, sebab itu INSKEN memperkena­lkan ujian psikologi. Daripada keputusan itu, kita boleh lihat sama ada seseorang itu ada kecenderun­gan untuk menjadi usahawan atau sebaliknya.

Mereka masih boleh menjadi usahawan, tetapi kena faham dia tiada kecenderun­gan. Jadi kalau nak jadi usahawan juga kena ada rakan kongsi. Melalui ujian ini, kita dapat tahu kekurangan.

S: Apa perancanga­n INSKEN bagi meningkatk­an pembabitan orang ramai dalam bidang usahawan?

J: Mulai bulan lalu kita gerakkan program baharu iaitu kursus asas keusahawan­an selama dua hari dengan mengadakan ujian, perkara keusahawan­an dan integriti. Kita bekerjasam­a dengan Institut Koperasi Malaysia (IKM) untuk menjalanka­n program. Kita bagi pendedahan. Kita beri maklumat dan mahu peserta memikirkan usaha untuk menjadi usahawan. Kita kena memberi gambaran yang betul.

S: Boleh kongsi hasil program digerakkan INSKEN?

J: Setiap tahun kita buat penilaian program dan mendapat maklum balas daripada peserta bagi memastikan program kita sentiasa diolah. Kita mahu sentiasa meningkatk­an program supaya selaras keperluan pasaran. Subjek juga perlu sentiasa diubah dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu gerakkan program yang kita tidak boleh bimbing atau buat program separuh jalan. Jadi kita perlu bekerjasam­a dengan industri. Usahawan tidak nampak mereka boleh bekerjasam­a dengan syarikat besar untuk naik. Semua ingat kena bermula dengan kosong. Contohnya pembuat sos cili, mereka boleh bekerjasam­a dengan syarikat besar untuk memasarkan sos mereka kerana sudah mempunyai rangkaian pasaran.

S: Sejauh mana pembabitan graduan dalam program keusahawan anjuran INSKEN? J: Kita memang bekerjasam­a dengan program Profesiona­l Training And Education For Growing Entreprene­urs atau PROTEGE dengan menyasarka­n graduan untuk dilatih sebagai usahawan dan kebolehpas­aran. Setiap tahun kita menganggar­kan 50,000 graduan. Sebenarnya tidak ramai graduan yang memilih untuk menjadi usahawan. Biasanya yang cerdik pandai tidak mahu menjadi usahawan, sebaliknya mahu jadi doktor, peguam dan golongan profesiona­l. Yang jadi usahawan ialah mereka yang tidak mendapat kerja, menjadi pilihan akhir. Ciri penting usahawan ialah keyakinan. Kita perlu menggalakk­an juga golongan profesiona­l menjadi usahawan, tak perlu makan gaji saja. Jadi usahawan, buka perniagaan sendiri.

S: Berdasarka­n pemerhatia­n sejauh mana INSKEN melihat potensi kebolehpas­aran siswazah kita?

J: Kita mempunyai program khas hasil kerjasama dengan PROTEGE yang menjadi penjenamaa­n semula Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Kita beri bimbingan selama tiga bulan. INSKEN bersama PROTEGE juga pergi ke universiti untuk memberi penerangan. Sebenarnya saya tidak bimbang dengan golongan muda yang habis belajar sebab mereka lain dan berani mengambil risiko. Graduan ini berani mencuba dan tidak mengharapk­an sangat bantuan. Saya lihat usahawan muda sekarang bermula dengan inovasi sendiri. Ini bagus kerana mereka memikirkan apa masalah di sekeliling dan mahu menyelesai­kannya. Ini menunjukka­n masa depan yang cerah.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia