Berita Harian

Galak tanaman kontan diusahakan di tanah terbiar

-

Miri: Tanah terbiar di kawasan Kuala Baram dicadang diusahakan dengan tanaman kontan sebagai langkah untuk menangani masalah kebakaran hutan yang kerap berlaku di kawasan itu.

Menteri Muda Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata apabila tanah itu diusahakan dengan pertanian, pemilik akan menjaganya dan mengelak daripada kebakaran.

Justeru katanya, langkah itu bukan sahaja akan memastikan pemilik tanah memperoleh hasil, malah pada masa sama dapat membantu mengelak kebakaran hutan yang berlaku pada musim panas setiap tahun.

“Idea bagi mengusahak­an tanah terbiar dengan tanaman kontan adalah cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika beliau mengadakan lawatan ke Miri baru-baru ini.

“Ia satu cadangan yang baik dan kita harus melaksanak­annya sebagai langkah dalam usaha menangani masalah kebakaran hutan dan tanah gambut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Menara Tinjau Tudan untuk melihat keadaan kebakaran hutan di Kuala Baram bersama Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, kelmarin.

Mengulas lanjut, Kim Shin berkata, kawasan belukar yang dibersihka­n dan diusahakan menjadi kebun boleh menjadi penghalang untuk mengelak kebakaran merebak ke kawasan yang lebih besar.

Sementara itu, Poh Kiong berkata, kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram agak sukar dipadam kerana ia berlaku di tanah gambut.

Lebih menyukarka­n, kawasan yang terjejas tidak mempunyai jalan masuk bagi kenderaan dan hanya boleh dilalui dengan berjalan melalui denai hutan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia