Berita Harian

Nelayan jatuh laut ketika ribut ditemui lemas

-

Jitra: Nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut di Jeti Tok Arab, Jerlun, ketika ribut malam Jumaat lalu, ditemui terapung dan tersangkut pada tambak pantai malam tadi.

Mayat Azimat Hassan, 62, ditemui pasukan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) yang membuat rondaan di kawasan itu pada jam 7.05 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira empat batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada jam 7.40 malam. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini bermula sejak semalam (kelmarin) dan disertai pelbagai agensi, termasuk Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pada jam 9.21 malam, bot fiber yang dinaiki mangsa bersama anaknya, Mohd Suhaimi, 27, dipukul ombak setinggi lima meter, kesan daripada Taufan Lekima.

Mohd Suhaimi sempat berpaut pada bot, manakala bapanya terjatuh ke laut dan tenggelam timbul, walaupun berusaha menyelamat­kan diri.

Sementara itu, penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan ketika ribut pada malam sama, Marziah Che Omar pernah memberi bayangan kepada tunangnya yang dia akan pergi buat selama-lamanya.

Tunang Allahyarha­m, Muhammad Khairil Nizam Ruslan, 22, berkata Marziah, 27, juga seakan merajuk apabila panggilan telefon serta kiriman mesej melalui Whatsapp tidak berjawab.

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia menghantar kiriman lagu dan bergurau seolah-olah mahu pergi buat selamanya.

“Arwah kata kalau dia meninggal dunia nanti, lagu itulah hadiah kenangan buat dia kepada saya.

“Arwah seperti merajuk apabila hampir 40 panggilan tidak dijawab dan Whatsapp juga tidak dibalas,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga tunangnya di Taman Bersatu, di sini, kelmarin.

Muhammad Khairil Nizam yang juga anggota tentera berkata, sebaik dimaklumka­n kejadian menimpa tunangnya itu pada jam 10 malam, iaitu dua jam selepas kejadian, dia bergegas pulang dengan menunggang motosikal sendirian dari Kuala Lumpur ke Jitra.

“Saya terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani pada jam 2.45 pagi dan cedera ringan di siku kiri, namun sempat menghubung­i keluarga arwah minta tunggu hingga saya sampai, sebelum jenazah dikebumika­n.

“Sepatutnya saya pulang menyambut Aidiladha dengan tunang, tetapi hanya dapat menatap jenazahnya,” katanya.

Muhammad Khairil Nizam berkata, mereka merancang melangsung­kan perkahwina­n antara Mac atau Jun tahun depan, tetapi segala impian sudah musnah.

“Saya reda dengan ketentuan Allah dan berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, Marziah yang menunggang motosikal menuju Bulatan Jitra, cuba mengelak zink diterbangk­an angin ketika ribut, sebelum dia dilanggar kenderaan selepas terjatuh dan meninggal dunia.

 ?? (Foto Ihsan Bomba) ?? Anggota bomba mengangkat mayat Azimat yang ditemui terapung dan tersangkut pada tambak pantai, malam tadi.
(Foto Ihsan Bomba) Anggota bomba mengangkat mayat Azimat yang ditemui terapung dan tersangkut pada tambak pantai, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia