Berita Harian

Pengguna jalan raya tak boleh ambil tindakan sendiri

-

Kuala Lumpur: Pengguna jalan raya tidak boleh mengambil tindakan sendiri seperti mencederak­an pengguna lain atau merosakkan kenderaan kerana tidak berpuas hati dalam sebarang insiden.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tindakan seperti itu biasanya tercetus apabila berlaku pertengkar­an yang kemudian bertukar menjadi kejadian buli dan boleh berakhir dengan pergaduhan dan pergelutan.

“Kes biasanya bermula dengan kesalahan trafik. Akibat tidak puas hati, ambil tindakan sendiri lalu jadi kes jenayah. Kes sebegini kerana pengguna gagal kawal rasa marah dan tidak puas hati dengan cara pemanduan individu lain yang mungkin melakukan kesalahan jalan raya.

“Ego dan ingin tunjuk dialah kuat, muncul tindakan seperti memberhent­ikan kereta orang yang membuatkan dia marah, keluarkan besi pengunci stering, bawa kayu besbol atau tunjuk isyarat lucah sehingga kes trafik bertukar jadi kes buli dan samseng jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, apabila pihak yang menjadi mangsa juga cuba menunjukka­n rasa ego dan tidak mahu beralah, akan berlaku pula pergelutan dan akhirnya kejadian mencederak­an yang boleh menyebabka­n kematian.

“Masing-masing bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya cuba bertindak samseng. Paling penting, apabila mana-mana pengguna berdepan situasi seperti diugut, dipukul atau kenderaan dirosakkan, segera buat laporan polis.

“Polis akan ambil tindakan, itu jaminan saya," katanya ketika dihubungi BH semalam sambil menambah, polis tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pengguna jalan raya yang berlagak samseng dan mencederak­an pengguna lain atau merosakkan kenderaan.

“Catatkan nombor pendaftara­n, lokasi kejadian dan wajah individu yang bertindak demikian dan lapor segera kepada polis. Kami akan tangkap dan bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melahirkan rasa sedih dan kesal atas insiden kemalangan di lebuh raya kendaliann­ya sehingga menyebabka­n kehilangan nyawa seorang pengguna kelmarin.

“PLUS tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pihak yang berkelakua­n agresif dan membahayak­an pengguna lain. Pengurusan PLUS sedia memberi sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, semalam.

Syarikat berkenaan juga menasihatk­an pengguna lebuh raya yang terbabit dalam kemalangan supaya segera menghubung­i polis atau membuat laporan di balai polis berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia