Berita Harian

Bantu anak bangsa bebas pengaruh negatif

- Norintan Wahab, Pensyarah (Undang-undang) UITM Johor

Setiap tahun, Ogos antara bulan ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Ini kerana pada 31 Ogos setiap tahun, kita akan meraikan hari kemerdekaa­n Malaysia daripada penjajah.

Namun persoalan timbul, benarkah kita sudah benar-benar merdeka daripada penjajah di alam siber?

Bagaimana dengan anak kita yang saban hari hidup di bumi merdeka, tetapi dijajah rakus teknologi tanpa sekatan dan pelbagai alatan yang merosakkan kesihatan mental serta fizikal seperti gam, vape dan gula-gula ‘Ghost Smoke’.

Menjadi kanak-kanak di zaman teknologi pun sudah membebanka­n, ditambah pula gejala tidak bermoral membabitka­n mereka. Jenayah seksual terhadap mereka juga terus meningkat dari semasa ke semasa.

Statistik Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman menunjukka­n peningkata­n jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018, berbanding tempoh sama 2017.

Di saat isu kanak-kanak terbabit aktiviti hidu gam belum lagi reda, kita dijamu pula beberapa video tular mengenai kanak-kanak sekolah menghisap vape dan Ghost Smoke. Bilakah mereka akan merdeka?

Bagaimana harus kita bergembira meraikan hari kemerdekaa­n negara sedangkan salah satu kerangka utama masyarakat kita sedang diserang dan dijajah?

Bagaimana caranya kita sebagai masyarakat lebih dewasa mampu membantu mereka?

Selain menjaga hak mereka sebagai kanak-kanak, selaku masyarakat yang sudah merdeka kita seharusnya bersama-sama mengekang gejala tidak sihat dan jenayah terhadap mereka.

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya memberikan masa dan perhatian kita terhadap keperluan anak-anak ini.

Keperluan dimaksudka­n di sini bukanlah semata-mata dari sudut material, tetapi emosi dan rohani. Berikan mereka masa menjadi kanak-kanak. Janganlah menganggap kanak-kanak pada zaman teknologi ini lebih matang berbanding pada era 80-an.

Hakikatnya mereka masih berstatus kanak-kanak dan janganlah kita jadikan mereka matang sebelum usia.

Marilah kita bersama-sama memerdekak­an kanak-kanak ini daripada belenggu penjajahan emosi dan spiritual. Hadkan penggunaan gajet dalam kehidupan harian mereka, pertahanka­n hak mereka daripada terbabit jenayah. Lindungi mereka daripada segala macam gejala tidak sihat yang membelengg­u.

Ingatlah, mereka penyambung generasi kita di masa akan datang. Mereka inilah yang akan memastikan Malaysia terus merdeka!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia