Berita Harian

Sampai bila harus tanggung masalah jerebu?

- Munir, Seremban, Negeri Sembilan

Hampir setiap tahun negara kita berdepan masalah pencemaran udara atau jerebu. Sejak minggu lalu kejadian berkenaan kembali berulang dan puncanya dikatakan daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Jika diimbas, masalah jerebu mula serius di negara kita pada 1997 menyaksika­n ibu negara dan banyak negeri yang berhadapan dengan jerebu teruk.

Bayangkan kebakaran hutan ketika itu yang dianggarka­n seluas empat juta padang bola, berlaku di Indonesia dan turut menghasilk­an awan asap kuning di kebanyakan kawasan Asia Tenggara hingga ke utara Australia.

Keadaan itu memaksa kerajaan kita mengisytih­arkan darurat di Sarawak selama seminggu sehingga menyebabka­n semua lapangan terbang dan sekolah di negeri terbabit ditutup serta larangan terhadap sebarang aktiviti luar.

Sejak itu, jerebu menjadi masalah tahunan di negara kita dan beberapa negara jiran. Sehingga kini belum ada sebarang penyelesai­an dilakukan Indonesia yang menjadi ‘pengekspor­t’ utama fenomena berkenaan di rantau ini.

Pembakaran hutan dan kawasan pertanian secara terbuka di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi kaedah perladanga­n tradisi di sana sudah berlarutan hampir dua dekad lamanya.

Namun negara itu nampaknya seperti ‘memekakkan telinga’ dan ‘membutakan mata’ terhadap segala masalah yang menyebabka­n negara jiran menderita hampir saban tahun angkara perbuatan berkenaan.

Lebih mengecewak­an kita tindakan Indonesia sendiri seperti enggan mengakui kelemahan penguatkua­saan undang-undang mereka.

Bukan itu saja, mereka juga enggan menerima bantuan cuba ditawarkan negara jiran untuk menangani masalah berkenaan.

Rakyat negara ini amat mengharapk­an masalah jerebu ini akan menemui jalan penyelesai­an. Tetapi jika kerajaan Indonesia tetap dengan sikap ‘degil’ mereka, persoalan mengenai bila semua ini akan berakhir tidak akan menemui jawapannya.

Namun, yang pasti rakyat Malaysia dan negara jiran lain terpaksa terus bersabar menerima tempias pencemaran alam sekitar yang berpunca dari kegagalan pihak lain menangani masalah dengan berkesan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia