Berita Harian

Perompak letupkan mesin

ATM bank, larikan RM270,000

- Oleh Rosman Shamsudin bhnews@bh.com,my

Tanjung Malim: Mesin ATM di sebuah bank di sini diletupkan oleh sekumpulan perompak yang kemudian dipercayai melarikan wang tunai RM270,000, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala itu, perompak difahamkan menggunaka­n bahan letupan untuk meletupkan mesin terbabit yang turut mengakibat­kan pintu cermin bank pecah.

Yang turut ditemui di lokasi kejadian adalah kesan tompokan darah dipercayai milik perompak akibat terkena kaca pintu cermin bank yang pecah akibat letupan kuat itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superinten­dan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata polis turut menemui cecair bahan kimia di kawasan letak kenderaan berhampira­n, dipercayai digunakan sebagai bahan untuk meletupkan mesin ATM berkenaan.

Beliau berkata polis menerima maklumat daripada pihak keselamata­n ibu pejabat bank di Kuala Lumpur menyatakan penggera di premis bank itu di pekan ini berbunyi pada jam 6.45 pagi.

Katanya seorang saksi lelaki yang tinggal di hadapan bank itu memberitah­u mendengar bunyi letupan kira-kira jam 6.30 pagi sebelum melihat menerusi tingkap rumahnya tiga lelaki keluar masuk di tempat kejadian.

“Saksi beritahu semua lelaki itu menaiki kereta berwarna merah, namun tidak pasti jenis dan nombor pendaftara­n kenderaan.

“Hasil rakaman CCTV mendapati dua lelaki bertopeng telah masuk melalui pintu hadapan sebelum keluar dan meletupkan sebuah ATM,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata semua spesimen yang ditemukan di lokasi oleh pasukan penyiasat dihantar ke Jabatan Kimia serta Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

Katanya, premis berkenaan menempatka­n tiga mesin, iaitu Mesin Deposit Tunai, Mesin Deposit Cek serta ATM dan pihak bank memaklumka­n sudah memasukkan RM300,000 ke dalam mesin ATM itu, petang kelmarin.

“Polis menyiasat segenap aspek termasuk terhadap cecair yang ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau yang sedang tidur, terkejut mendengar bunyi letupan kuat di bangunan kedai berdekatan rumahnya itu kira-kira jam 6.30 pagi sebelum keluar melihat apa yang berlaku.

“Saya melihat pintu kaca bank berkenaan sudah pecah dan beberapa individu dipercayai perompak keluar dalam keadaan tergesa-gesa melarikan diri menggunaka­n sebuah kereta berwarna merah dalam masa tidak sampai beberapa minit.

“Saya hanya melihat dari jauh sebelum ke lokasi kejadian selepas polis tiba untuk membuat siasatan. Saya tidak sangka kejadian ini dan masih terkejut dengan bunyi letupan yang begitu kuat,” katanya.

 ??  ??
 ?? [Foto Rosman Shamsudin/bh] ?? Pintu masuk dan tiga mesin ATM di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Tanjung Malim diletupkan dalam kejadian rompakan, semalam.
[Foto Rosman Shamsudin/bh] Pintu masuk dan tiga mesin ATM di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Tanjung Malim diletupkan dalam kejadian rompakan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia