Berita Harian

Pelajar teruja disuap isteri Perdana Menteri

-

Langkawi: Pengunjung cilik, Adam Mustaqim Abd Rahman teruja apabila disuap kuih donat oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada Majlis Korban di Masjid Ar Rahman, Kedawang di sini, semalam.

Adam Mustaqim, 10, yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang, mengaku pada mulanya gementar selepas melihat isteri Perdana Menteri memanggiln­ya datang ke meja utama.

“Saya dan empat rakan sedang berjalan melintasi khemah tetamu, sebelum tiba-tiba nampak Tun (Dr Siti Hasmah) senyum dan menggamit supaya datang ke mejanya.

“Takut juga mulanya, tetapi selepas berada di sisinya, saya rasa bertuah pula apabila Tun potong donat dengan garpu dan terus meminta saya menganga sebelum disuapnya kuih itu ke mulut saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, sebelum ini dia hanya mengenali Dr Siti Hasmah melalui televisyen saja.

“Memang seronok sangat kerana bukan saja dapat berbual, malah Tun suap donat yang sedap.

“Saya akan ingat peristiwa ini sampai bila-bila, rasa macam nenek saya yang suap,” katanya bercita-cita menjadi anggota polis apabila dewasa kelak.

Terdahulu, Dr Siti Hasmah mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis korban di masjid itu yang dihadiri lebih 400 penduduk tempatan.

Saya akan ingat peristiwa ini sampai bila-bila, rasa macam nenek saya yang suap. Adam Mustaqim Abd Rahman

 ?? (Foto Hamzah Osman/bh) ?? Dr Siti Hasmah menyuapkan sepotong kuih kepada Adam Mustaqim pada Majlis Korban Masjid Ar Rahman Kampung Kedawang, Langkawi, semalam.
(Foto Hamzah Osman/bh) Dr Siti Hasmah menyuapkan sepotong kuih kepada Adam Mustaqim pada Majlis Korban Masjid Ar Rahman Kampung Kedawang, Langkawi, semalam.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia