Berita Harian

Hutan Simpan Lagong tak terbela

Sebahagian tanah pinggir kawasan berstatus hutan simpan terus digondol

- Oleh Amin Ridzuan Ishak, Mohd Nasaruddin Parzi dan Fitri Nizam bhnews@bh.com.my

Sungai Buloh: Bukan saja penceroboh­an Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) untuk diusahakan dengan penanaman rumput dan pokok hiasan berterusan, nasib Hutan Simpan Lagong di kawasan berhampira­n juga seakan tidak terbela.

Pendedahan mengenai penceroboh­an Hutan Simpan Lagong juga pernah dilaporkan BH pada 2016, namun tinjauan baru-baru ini mendapati, sebahagian tanah berbukit di pinggir kawasan berstatus hutan simpan kekal itu terus gondol.

Lebih memburukka­n keadaan, tinjauan juga mendapati ada kesan baharu kawasan tebing di hutan simpan berkenaan dikorek, dipercayai diambil tanahnya bagi kegunaan perniagaan nurseri.

Kegiatan di Hutan Simpan Lagong dipercayai turut didalangi pekerja asing yang juga disyaki menginap di rumah bekas pesakit kusta di PKKN yang memperoleh bekalan elektrik dan air dengan membuat sambungan haram.

Beberapa pendatang yang mengusahak­an tanah di sekitar PKKN ketika ditemui, memberi alasan mereka hanya bekerja di tapak berkenaan yang didakwa dimiliki warga tempatan.

“Saya kerja saja dan tidak tinggal di sini, tinggal jauh sedikit. Dulu memang ada (pekerja asing) tinggal di kawasan sekitar sini, tetapi ada serbuan (pihak berkuasa), menyebabka­n ramai lari.

“Memang ada orang tinggal di sini, tengok rumah (bekas pesakit kusta) yang ada mesin basuh itu elok saja, mesti ada penghuni,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu dan bekerja di situ sejak lebih setahun lalu.

Seorang lagi warga Indonesia yang ditemui, mengaku pernah tinggal di rumah bekas pesakit kusta sebelum mengambil keputusan berpindah keluar beberapa tahun lalu kerana operasi dijalankan pihak berkuasa.

“Sebelum ini ada rakan yang menumpang (rumah bekas pesakit kusta) di sini, kami ikut saja,” katanya namun menutup mulut apabila ditanya sama ada bekalan air digunakan untuk tapak semaian diperoleh daripada paip seliaan PKKN.

Dia juga mendakwa lebih 20 pekerja asing mengambil upah menanam rumput hiasan di kawasan terbabit dengan upah diterima setiap sekitar RM500 hingga RM900 sebulan.

“Tengok masa, jika jualan (rumput) banyak, banyaklah hasilnya,” katanya yang bersungguh-sungguh menafikan menginap di rumah bekas pesakit kusta di PKKN.

Ketika tinjauan BH, kelihatan segelintir pekerja asing cuba mengelak dengan bertindak menutup pagar ke kawasan lot semaian diusahakan mereka selepas melihat kenderaan wartawan memasuki kawasan berkenaan.

Semalam, BH melaporkan selepas lebih tiga tahun penceroboh­an pendatang asing di PKKN didedahkan akhbar ini, keadaan terkini tidak banyak berubah, masih ada tanah milik kerajaan di sekitar PKKN kekal diceroboh dengan perusahaan penanaman rumput dan nurseri.

Pekerja di tapak berkenaan pula adalah warga asing, termasuk dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan majoriti dari Indonesia dan sebahagian kecil warga Bangladesh.

Malah, wartawan BH yang memantau kediaman bekas pesakit kusta di PKKN juga mendapati ada yang masih berpenghun­i, dipercayai diceroboh warga asing.

Sesetengah daripada rumah bekas pesakit kusta yang terbiar itu masih dilengkapi keperluan seperti barangan elektronik, antaranya mesin basuh. Tinjauan pada sebelah malam pula mendapati penginapan berkenaan masih mempunyai bekalan elektrik.

Keadaan itu menimbulka­n persoalan sama ada pekerja asing terutama PATI yang mengusahak­an tanah dalam kawasan PKKN seluas 227 hektar itu atau digajikan pihak tertentu, kebal daripada tindakan undang-undang.

 ?? [Foto Zulfadhli Zulkifli/bh] ??
[Foto Zulfadhli Zulkifli/bh]
 ??  ?? Tinjauan di PKKN Sungai Buloh mendapati masih ada usaha penanaman rumput dan pokok hiasan.
Tinjauan di PKKN Sungai Buloh mendapati masih ada usaha penanaman rumput dan pokok hiasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia