Berita Harian

Mangsa buntu cari bantuan

Tiada pihak didakwa tampil beritahu tindakan susulan perlu diambil

- Oleh Siti Sofia Md Nasir siti.sofia@bh.com.my

Georgetown: “Di mana harus kami pergi dan kepada siapa kami patut adukan?”

Itu rintihan Jaharah Ismail, 41, yang buntu mencari jalan penyelesai­an membantu kedua ibu bapanya, yang menjadi mangsa kejadian ribut susulan Taufan Lekima pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, rumah pusaka berusia lebih 80 tahun didiami ibu bapa Jaharah di Kampung Dodol, di sini, musnah akibat kebakaran disebabkan litar pintas selepas dipukul ribut.

Jaharah berkata, beliau bingung kerana tidak mengetahui saluran untuk mendapatka­n bantuan pihak berkaitan, termasuk daripada kerajaan negeri.

“Saya tidak tahu nak jumpa siapa, mahu pergi mana dan adukan kepada siapa.

“Saya tahu susah untuk mendapatka­n ganti rugi atau pampasan penuh daripada kerajaan negeri dan pihak berkaitan, tetapi sekarang ini tiada siapa yang datang dan beritahu kami apa perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Dodol, di sini, semalam.

Jaharah yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, beliau bersyukur apabila majikannya sudi memberi cuti tambahan sehingga Jumaat ini, untuk membantu menguruska­n masalah terbabit.

Katanya, ketika ini beliau sudah membuat dua laporan polis berhubung kejadian ribut dan kebakaran, selain wakil rakyat di kawasan itu juga sudah mengadakan lawatan.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya harap perkara ini dapat diselesaik­an segera,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Sementara itu, ibu Jaharah, Hasnah Ahmad, 63, berkata ketika kejadian, rumahnya dimasuki hujan selepas ribut menerbangk­an hampir separuh atap kediamanny­a.

“Selepas itu, makcik tutup suis elektrik utama untuk elakkan litar pintas dan kami pergi ke rumah anak yang tinggal berdekatan, untuk berlindung.

“Tetapi kira-kira jam 3 pagi, jiran hubungi dan maklumkan rumah kami terbakar. Tiada apa yang sempat diselamatk­an,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankua­sa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata lebih 500 kediaman yang rosak di Pulau Pinang akibat ribut susulan Taufan Lekima pada Jumaat lalu, akan menerima bantuan menerusi Tabung Yang Dipertua Negeri (TYT).

Katanya, jumlah bantuan diberikan adalah kira-kira 10 peratus daripada nilai kerosakan atau terhad kepada RM5,000 untuk satu kediaman.

 ?? (Foto Danial Saad/bh) ?? Jaharah (kiri) dan Hasnah di hadapan rumah yang terbakar di Kampung Dodol, Georgetown, semalam.
(Foto Danial Saad/bh) Jaharah (kiri) dan Hasnah di hadapan rumah yang terbakar di Kampung Dodol, Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia