Berita Harian

Kerajaan digesa segera bantu ringan beban

-

Jitra: Mangsa ribut susulan Taufan Lekima di negeri ini, merayu dan berharap kerajaan dapat membantu meringanka­n beban mereka dalam tempoh terdekat.

Mangsa, Zaini Said, 37 dari Kampung Pida 3, di sini, berkata kejadian Jumaat lalu itu bukan saja merosakkan sebahagian besar rumahnya, malah sawah padinya turut rosak.

“Rumah saya terletak di tepi sawah padi, jadi apabila ribut datang habis bumbung dan struktur kayu diterbangk­an angin.

“Malah, barangan dan perkakasan rumah turut rosak. Nilai kerosakan rumah saja lebih RM10,000 tidak termasuk sawah,” katanya ketika ditemui di kediamanny­a.

Zaini berkata, kerosakan itu menyebabka­n isteri, dua anak, abang dan emaknya terpaksa menumpang di rumah mentuanya di Jitra, buat sementara waktu.

“Kami menumpang ketika cuti sekolah, apabila sekolah dibuka semula, macam mana anak mahu ke sekolah jika rumah tidak berbumbung?

“Setakat untuk duduk tidak menjadi masalah, tetapi jika hujan akan basah satu rumah. Saya berharap kerajaan dapat membantu kami,” katanya.

Sementara itu, di Baling, seorang pengusaha tanaman pisang, Mohd Shariff Zakaria, 50, turut merayu kerajaan membantu pekebun kecil sepertinya.

“Sebanyak 500 pokok pisang saya musnah. Pokok ini baru keluarkan hasil, namun ini ujian buat saya.

“Pisang ini masih muda dan dijangka dapat dituai dalam tempoh sebulan lagi. Apa pun saya reda kerana kejadian berlaku kehendak Allah,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Cik Mas.

Mohd Shariff juga sudah membuat laporan polis dan memanjangk­an laporan itu kepada Jabatan Pertanian, sekiranya dapat membantu memberi bantuan.

“Saya melakukan kerja kampung dan bertani untuk mencari rezeki. Saya sangat berharap pihak berkaitan dapat membantu meringanka­n beban ditanggung,” katanya.

 ?? (Foto Sharul Hafiz ZAM/BH) ?? Zaini (kiri) bersama jiran memeriksa rumahnya di Kampung Pida 3, Jitra yang musnah dipukul ribut.
(Foto Sharul Hafiz ZAM/BH) Zaini (kiri) bersama jiran memeriksa rumahnya di Kampung Pida 3, Jitra yang musnah dipukul ribut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia