Berita Harian

‘Dashcam’ kekang samseng jalan

- Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Samseng jalan raya ada di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Bagi segelintir pemandu kenderaan, bila-bila masa saja ada yang boleh bertukar watak menjadi baran dan ‘ganas’ apatah lagi jika wujud unsur provokasi.

Ini realiti hari ini. Sikap baran pengguna jalan raya ini boleh menyebabka­n kemalangan dan akhirnya, ramai turut menjadi mangsa. Malah, ada kes kenderaan dirosakkan dan lebih teruk lagi mencetuska­n pergaduhan dalam kalangan pengguna jalan raya sehingga membawa kecederaan dan kematian.

Apabila berlaku kemalangan dan pergaduhan, mereka saling menuding jari dan mempertaha­nkan diri masing-masing.

Pemandu yang tidak bersalah sekalipun sukar untuk membuktika­n berada di pihak benar dan bukan dirinya yang menjadi punca masalah itu.

Lebih teruk kalau pada akhirnya nanti, mereka yang tidak bersalah terpaksa menanggung segala-galanya - sudahlah sakit, duit pun habis dan silap langkah, nyawa boleh melayang.

Tragedi menimpa pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang maut selepas berlaku perselisih­an faham berpunca daripada kemalangan kecil di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan berhampira­n persimpang­an Southville City di Bangi, Sabtu lalu, contoh jelas untuk menunjukka­n sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.

Dalam kes ini, kita belum tahu siapa yang bersalah sama ada lelaki yang kini direman polis atau mangsa sendiri kerana siasatan sedang dilakukan. Apa yang pasti kejadian itu menunjukka­n wujud elemen samseng jalan raya dengan pihak yang terbabit mengambil tindakan mengikut emosi.

Kalau tabiat buruk pemandu seperti itu tidak diperbetul­kan dan diberikan pengajaran menerusi hukuman sewajarnya, sampai bila-bila pun mereka yang tidak bersalah akan terus menjadi mangsa dan samseng jalan raya pula bebas tanpa sebarang tindakan.

Seiring perkembang­an teknologi, hari ini sudah ada alat yang boleh berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ dan seterusnya menjadi bahan bukti terhadap apa juga yang berlaku termasuk ketika di jalan raya.

Fungsi ini boleh dilaksanak­an dashboard camera atau dashcam iaitu kamera yang dipasang pada papan pemuka bagi tujuan merakam video pergerakan kenderaan.

Kamera ini yang turut dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) membolehka­n peralatan itu merekod automatik lokasi dan kelajuan kenderaan ketika rakaman video dilakukan.

Hari ini, warga maya disajikan dengan bermacam-macam video hasil rakaman peralatan itu yang dimuat naik di media sosial, termasuk berkaitan samseng jalan raya.

Daripada rakaman itu, pastinya ramai geram apabila melihat aksi pembuli jalan raya.

Mungkin ramai masih ingat satu rakaman video mengenai cermin depan sebuah kereta dipecahkan penunggang motosikal menggunaka­n topi keledar semata-mata kerana pemandunya membunyika­n hon di Seri Kembangan, di ibu negara pada Mei lalu.

Dengan bukti rakaman pada kereta mangsa, dalam tempoh empat hari sahaja lelaki terbabit ditahan dan diheret ke muka pengadilan sebelum dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Ini hanya satu daripada pelbagai kes yang berjaya diselesaik­an dengan cepat oleh polis dan salah satu sebabnya, sudah tentu dengan bantuan bahan bukti hasil rakaman itu.

Ketika ini, sudah ramai pemilik kenderaan memasang dashcam walaupun undang-undang tidak mewajibkan­nya. Buktinya pelbagai rakaman dimuat naik di media sosial, sekali gus membantu pihak berkuasa menyelesai­kan banyak kes termasuk kes jenayah.

Sudah sampai masanya kerajaan mempertimb­angkan keperluan memasang peralatan itu ke atas semua kenderaan, sama ada persendiri­an atau pengangkut­an awam.

Walaupun sebelum ini Kementeria­n Pengangkut­an memaklumka­n belum ada cadangan mewajibkan pemasangan dashcam, kini keperluan itu perlu dipertimba­ngkan secara serius.

Dashcam kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi pemilik kenderaan.

Sebagai permulaan, kerajaan boleh mewajibkan pemasangan peralatan itu bagi kenderaan baharu dan pada masa sama menggalakk­an pemilik kenderaan sedia ada memasangny­a secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan mewajibkan semua syarikat pengeluar dan pengimport kenderaan memasangny­a sebelum kenderaan dijual.

Mungkin juga dashcam boleh disyaratka­n sebagai aksesori wajib setiap kenderaan baharu, tambahan lagi kos peralatan itu tidaklah mahal. Soal kos tidak sepatutnya menjadi isu apabila ia membabitka­n aspek keselamata­n.

Kita percaya pemilik kenderaan tidak keberatan memasangny­a kerana rata-rata menyedari keperluan dan kepentinga­n peralatan ini.

Pemilik kenderaan sudah tentu tidak mahu menjadi mangsa samseng jalan raya dan mereka juga tidak akan menjadi pembuli kerana dashcam akan bertindak menjadi ‘senjata makan tuan’.

 ?? (Foto hiasan) ?? ‘Dashcam’ boleh menjadi bukti terhadap apa yang berlaku di jalan raya.
(Foto hiasan) ‘Dashcam’ boleh menjadi bukti terhadap apa yang berlaku di jalan raya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia