Berita Harian

Safari Wukuf bawa 79 jemaah sakit ke Arafah

Kumpulan dibawa guna ambulans, bas khas laksana rukun kedua haji

-

Makkah: Seramai 79 orang jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah, di sini, dibawa melakukan ibadat wukuf di Arafah melalui program Safari Wukuf, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata pesakit yang dalam keadaan sedar dibawa seketika untuk berada di Arafah selepas masuk waktu wukuf menggunaka­n ambulans dan bas khas bagi membolehka­n mereka melaksanak­an rukun kedua haji itu.

Wukuf bermaksud berhenti dan berada di Arafah seketika dalam apa juga keadaan.

Fuziah berkata, sembilan jemaah Malaysia meninggal dunia ketika mengerjaka­n ibadat haji setakat ini dengan kematian terbaru membabitka­n seorang jemaah wanita, kelmarin.

Beliau berkata, jemaah itu Faridah Abdul Latip, 65, dari Kuala Rompin, Pahang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas melakukan ibadat melontar di jamrah pukul 7.05 malam tadi waktu tempatan atau 12.05 tengah malam waktu Malaysia.

“Jemaah terbabit meninggal dalam perjalanan pulang ke khemah dan terkena serangan jantung di terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia,” katanya selepas melawat Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah, di sini, semalam.

Beliau berkata, seramai enam jemaah haji yang dirawat di hospital Arab Saudi, di sini, dalam keadaan kritikal.

Kebanyakan mereka menghidap masalah jantung, jangkitan kuman di paru-paru, tibi dan ada yang dalam keadaan koma.

“Mereka mempunyai sejarah penyakit sejak dari tanah air dan dengan keadaan di sini yang amat mencabar menyebabka­n daya tahan mereka berkuranga­n.

“Pihak hospital Arab Saudi sedang merawat mereka sebaik mungkin, namun terpulang kepada keluarga hendak bawa mereka pulang atau sebaliknya,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksika­n 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjaka­n rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH termasuk rombongan perubatan terdiri daripada 23 doktor pakar, 38 doktor dan 226 lain-lain anggota perubatan. BERNAMA

 ?? (Foto Ihsan TH) ?? Fuziah bersama petugas TH berdoa ketika melawat pesakit di Pusat Rawatan TH Syisyah, Makkah, semalam.
(Foto Ihsan TH) Fuziah bersama petugas TH berdoa ketika melawat pesakit di Pusat Rawatan TH Syisyah, Makkah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia