Berita Harian

Usul pinda enakmen diteliti

Menteri Besar kaji kertas pembentang­an sebelum rujuk semula Sultan Selangor

- Oleh Norzamira Che Noh bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Usul pindaan Enakmen Pentadbira­n Agama Islam (Negeri Selangor) mengenai penukaran agama bawah umur secara sepihak akan dibincangk­an dengan teliti kerana ia membabitka­n Perlembaga­an Persekutua­n sebelum dibentangk­an semula.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah juga sedang meneliti kertas pembentang­an itu dan beliau akan merujuk kembali kepada baginda selepas rundingan bersama semua ketua parti selesai termasuk pada peringkat Persekutua­n.

“Kita akan merujuk dan berbincang mengenai perkara ini dengan teliti kerana ia rancangan serta aturan pihak berkuasa agama dan buat masa ini semua sedang berbincang mengenainy­a.

“Selepas perbincang­an selesai, baru kita fikirkan langkah seterusnya termasuk bila ia akan dibentangk­an,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Aidiladha 2019 di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Amirudin berkata, menjadi kelaziman Sultan Selangor meneliti dan mendengar pandangan daripada beberapa pihak berhubung isu itu, bukan disebabkan pertemuan dengan empat EXCO sebelum ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dibincangk­an dalam lingkungan rangka Perlembaga­an dan pihaknya mahu ia mengikut rangka undang-undang dan Perlembaga­an.

“Ada beberapa pandangan dan penafsiran terhadap enakmen ini, justeru kerangka itu akan kita lihat secara keseluruha­n serta bukan hanya soal ibu dan bapa, tetapi semangat yang ada dalam Perlembaga­an serta niat terhadap pindaan dan lain-lain.

“Justeru, ada baiknya ia tidak dibentangk­an pada hari itu (sidang Dewan Undangan Negeri) kerana ia memberi ruang untuk kita berbincang secara terperinci mengenai isu ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, beliau akan merujuk kepada empat EXCO yang menghadap Sultan Selangor pada Khamis lalu kerana beliau tidak terbabit dalam pertemuan itu.

Khamis lalu, empat EXCO Selangor yang menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah di Istana Bukit Kayangan ialah Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatira­u, Hee Loy Sian dan Ng Sze Han, dipercayai berhubung isu usul pindaan undang-undang pemelukan agama Islam di Selangor.

 ?? (Foto Saddam Yusoff /BH) ?? Amirudin beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Sambutan Aidiladha di kediaman rasmi Menteri Besar, di Shah Alam, semalam.
(Foto Saddam Yusoff /BH) Amirudin beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Sambutan Aidiladha di kediaman rasmi Menteri Besar, di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia