Berita Harian

Yunus Rais meninggal

Pakar pendidikan derita kanser prostat, masalah kesihatan lain

- Daripada Zaharah Othman bhnews@bh.com.my

London: Datuk Yunus Rais, 84, seorang pakar pendidikan yang terkenal dengan kebolehann­ya mengajar dalam bahasa Inggeris, meninggal dunia semalam, kerana kanser prostat dan beberapa masalah kesihatan lain.

Yunus yang dilahirkan di Batu Gajah, Perak, meninggal dunia di University College Hospital, London selepas lebih sebulan dirawat di sana.

Jenazah Allahyarha­m akan dibawa ke Tanah Perkuburan Brookwood, kira-kira sejam dari London, selepas dimandikan dan solat jenazah di Masjid Shah Jehan di Woking.

Ketika hayatnya, Yunus yang sudah lama menetap di London, selepas menjalani kursus perguruan di Kolej Perguruan Kirkby dalam tahun 1954, pulang ke tanah air seketika untuk mengajar tetapi kembali semula ke Britain kerana meneruskan pengajian dalam jurusan undang-undang.

Sebagai seorang yang tidak mendapat apa-apa pendidikan; tanpa boleh menulis atau membaca sehingga umurnya 15 tahun, Yunus tidak membiarkan kekurangan ini menahannya daripada mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Beliau pernah menjadi majistret dan membuka sekolah mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar yang datang sejauh Iran, China, Turki dan Russia.

Peluang untuk berjaya ini diberi oleh majikannya seorang tukang jahit, yang membiayai kelas malamnya.

Dengan kesedaran betapa pentingnya menolong orang lain yang kurang bernasib baik sepertinya, Yunus, akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Ini terbukti, selepas penutupan sekolahnya, beliau meluangkan masa mengajar bukan sahaja kepada pelajar PHD dari Malaysia supaya fasih dalam bahasa Inggeris, tetapi juga pelajar dari negara lain.

Semua ini dilakukan percuma, dengan keazaman membantu dan melihat mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Sejak terlantar di hospital, Yunus tidak putus dikunjungi bekas pelajar, bekas tenaga pelajar dan kenalan yang menganggap­nya sebagai bapa angkat, ikon dan mentor.

Malahan, beberapa bekas pelajarnya tidak pernah jauh dari katilnya di hospital yang bergilir-gilir untuk menjaganya. Tidak kurang juga yang datang dari jauh selepas mendengar berita mengenai penyakit yang dihidapiny­a.

Sebelum keadaannya semakin tenat, beliau sempat berjumpa dengan anak tunggalnya, Alex Swan, seorang peguam terkemuka.

Alex dan isterinya terus berada di sisi sehingga bapanya menghembus­kan nafas terakhir.

 ??  ?? Yunus Rais
Yunus Rais

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia