Berita Harian

Abang ditahan dipercayai tertembak adik sendiri

-

Keningau: Seorang lelaki ditahan selepas menyerah diri kerana dipercayai tertembak adiknya sendiri sehingga terbunuh dalam kejadian di hutan Sabindo Plantation, Ulu Pangas, Apin-apin, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek berusia 41 tahun tertembak adiknya yang berusia 35 tahun ketika sedang berburu di hutan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superinten­dan Shahrudin Mat Husain, berkata dua beradik terbabit masuk ke hutan sejak Khamis lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek tertembak adiknya menggunaka­n senapang buatan sendiri jenis bakakuk.

“Selepas kejadian, suspek menghantar mayat mangsa ke Hospital Keningau sebelum bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berikutan kejadian itu, Shahrudin berkata, suspek kemudian ditangkap dan bakakuk serta peluru yang digunakann­ya turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai lesen senjata api yang sah.

“Beberapa sampel diambil di tempat kejadian manakala pakaian mangsa dan suspek ketika kejadian juga turut diambil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan setakat ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia